Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pilihan Aku - permainan 'role playing' tangani infodemik Covid-19
Diterbitkan:  Mar 7, 2021 9:03 AM
Dikemaskini: 1:04 AM

Dengan dunia masih bergelut dengan pandemik Covid-19, pertembungan serupa berlaku di internet terhadap apa yang disifatkan sebagai "infodemik" atau perkongsian maklumat palsu.

Sepertimana kawalan diri menjadi kunci kepada mengekang penularan Covid-19, sebuah kumpulan di Malaysia telah melancarkan laman web untuk orang ramai mengenal pasti dan melawan maklumat palsu.

Dinamakan sebagai 'Pilihan Aku', ia merupakan permainan 'role-playing' di pelayar yang dicipta oleh Malaysia Information Literacy Education (Mile). Pemain boleh bermain permainan ini daripada perspektif pencipta dan mangsa "berita palsu".

Ia didanai oleh Institute for War and Peace Reporting (IWPR) dengan ilustrasi oleh Studio Behind 90.

Dalam permainan ini, pemain boleh memilih personaliti tiga warga Malaysia - iaitu pesara yang berniaga sate, pelajar kolej dan pencipta permainan dalam talian.

Idea asas permainan ini berkenaan bagaimana tindakan menyebarkan berita palsu adalah pilihan peribadi dan warga yang bermaklumat lebih kurang risiko untuk menjadi mangsa berita palsu.

Mengambil inspirasi daripada kejadian sebenar, pengasas bersama Mile, Darshini Kandasamy berkata permianan ini bertujuan mendidik pemain berkenaan berita palsu dan memeriksa fakta kandungan laman web, serta kesan undang-undang menyebarkan berita palsu.

"Di Malaysia, masih banyak yang perlu dilakukan untuk menangani isu maklumat palsu dan meningkatkan kemahiran pemikiran kritis serta celik maklumat, agar dapat menganalisis, menilai dan memproses kebanjiran kandungan dalam talian yang diterima.

"Keadaan ini diburukkan lagi dengan segala berita, khabar angin dan propaganda yang muncul di tengah-tengah pandemik," katanya.

Katanya lagi, ada yang tidak berfikir sedalamnya untuk menentukan sama ada untuk percaya dan berkongsi sesuatu maklumat atau tidak.

"Kita mungkin ada niat baik tapi cenderung untuk berkongsi maklumat tanpa mengetahui ia benar atau tidak, dan tanpa benar-benar memahami kesan berbuat demikian," katanya lagi.

Dengan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pihak berkuasa telah memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang didapati menyebarkan maklumat palsu atau menghasut ke arah penolakan vaksin, yang menjejaskan matlamat 80 peratus kadar vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok.

Lihat Komen
ADS