Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
33 MP wanita sepakat ke arah parlimen peka gender
Diterbitkan:  Mar 7, 2021 5:12 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Tiga puluh tiga anggota Parlimen wanita daripada kerajaan dan pembangkang hari ini menyeru ke arah parlimen yang lebih peka gender.

Mereka berikrar untuk menumpukan usaha pada rang undang-undang dan dasar yang menuju ke arah kesetaraan gender dan mengadakan perbahasan yang mencerminkan kepekaan gender.

"Tema tahun ini yang telah ditetapkan oleh Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah “Choose To Challenge” ataupun "Memilih Untuk Mencabar".

"Sesuai dengan tanggungjawab kami selaku Ahli Parlimen, kami sentiasa bercita-cita dan berusaha untuk menjadikan Parlimen Malaysia bertaraf dunia serta kami juga bersepakat menjunjung tekad untuk menjadikan Parlimen Malaysia sebagai Parlimen yang peka gender seperti yang termaktub di dalam garis panduan Kesatuan Antara Parlimen - IPU (Inter Parliamentary Union)," kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Garis panduan tersebut menyatakan:

"Parlimen yang sensitif gender akan dapat memenuhi keperluan dan kepentingan setiap lelaki dan wanita dari aspek komposisi, struktur, operasi, kaedah serta corak kerjanya.

"Justeru, ia dapat membuka ruang untuk penyertaan penuh wanita dan menawarkan suatu contoh atau model yang positif dengan mempromosikan kesaksamaan gender dan pengupayaan wanita kepada masyarakat di peringkat nasional mahupun antarabangsa."

Antara penandatangan ikrar tersebut ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman, bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Ahli Parlimen Pandan), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun (Ahli Parlimen Titiwangsa), Teresa Kok (Seputeh) dan Hannah Yeoh (Segambut).

Mereka juga meminta anggota parlimen yang lain untuk mengambil ikrar yang sama, dan mengatakan bahawa orang ramai juga dapat membantu dengan mendorong wakil rakyat masing-masing untuk menjadikannya komitmen mereka.

Ikrar lain yang dibuat oleh Ahli Parlimen berkenaan adalah seperti berikut:

- Menilai kemungkinan reformasi sistem pilihanraya demi memastikan representasi gender lebih seimbang di dalam Parlimen Malaysia.

- Bajet dan peruntukan kewangan yang responsif kepada keperluan gender di dalam segala aspek tugasan kementerian dan agensi.

- Berusaha ke arah mewujudkan kesaksamaan gender di dalam perlaksanaan program Jawatankuasa Pilihan Khas di Parlimen Malaysia.

- Memastikan bahawa pembangunan prasarana di Parlimen Malaysia mengambil kira keperluan gender serta dasar-dasar berkaitan penjawat awam yang bertugas beserta Ahli Parlimen juga merupakan dasar merangkumi keperluan gender.

Lihat Komen
ADS