Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKPD di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu dilanjutkan
Diterbitkan:  Mar 7, 2021 8:02 PM
Dikemaskini: 12:02 PM

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan mulai 9 hingga 22 Mac.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah penilaian risiko dilakukan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 319 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 26 kes positif Covid-19 direkodkan. KKM mengesahkan masih terdapat 181 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan dan kes-kes positif masih dilaporkan di lokaliti ini," katanya dalam satu kenyataan berhubung PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sebelum ini, PKPD dilaksanakan di kawasan berkenaan sejak 23 Feb dan dijadualkan tamat esok.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD di Kampung Emperoh Jambu, Padawan di Kuching, Sarawak akan ditamatkan esok seperti dijadualkan setelah penilaian risiko dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

Menurut Ismail Sabri, KKM telah melaksanakan 368 saringan di kawasan berkenaan dan 28 kes direkodkan, justeru kementerian itu mengesahkan terdapat penurunan kes selain kluster adalah terkawal.

Sementara itu, beliau berkata seramai 442 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP, dengan 430 dikompaun, manakala 11 direman dan satu dijamin.

Antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan dengan 144 kes, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (88), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (lapan) dan lain-lain (51), katanya.

Pada masa sama, beliau berkata seramai 102 pendatang tanpa izin ditahan serta empat kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng semalam.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS