PM: Dr M akan dijemput hadiri perhimpunan agung Umno
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dijemput menghadiri perhimpunan agung Umno November ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dijemput menghadiri perhimpunan agung Umno November ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Dr Mahathir gagal dipilih sebagai perwakilan Umno Kubang Pasu dalam mesyuarat bahagian tersebut semalam. Beliau memperolehi 227 undi ditangga kesembilan daripada 15 calon yang bertanding.
"Kita menjemput semua ahli parti kita dan Tun (Mahathir) tak pernah dikecualikan," kata Abdullah kepada wartawan Malaysia di luar Mesyuarat Asia-Eropah Keenam (Asem6) yang bermula di Helsinki Fair Centre hari ini.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri tiba semalam untuk mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat dua tahun sekali itu yang dihadiri 39 pemimpin Kesatuan Eropah (EU), 10 anggota Asean, Jepun, China, Korea dan Suruhanjaya Eropah.
Ditanya apakah peranan Dr Mahathir dalam Umno berikutan kekalahan itu, Abdullah berkata, peranan seorang ahli Umno ialah menyokong dan menjayakan perjuangan parti di samping menjayakan apa juga yang diusahakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno.
"Itu adalah satu perkara yang sentiasa diharapkan daripada ahli Umno sama ada yang ada sekarang atau yang sudah bersara (tidak lagi memegang jawatan) seperti mereka yang menganggotai Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak).
Forum keamanan
"Saya bertemu mereka baru-baru ini dan semuanya menyatakan keinginan untuk terus berkhidmat dengan kemampuan mereka tanpa apa-apa jawatan," kata Abdullah.
Menurut Perdana Menteri, Dr Mahathir biasa diminta mengetuai kumpulan tertentu, termasuk dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) selain menjadi penasihat Petronas dan Proton.
"Dan Tun Dr Mahathir juga telah wujudkan satu peranan sebagai Pengerusi Forum Keamanan Sejagat, iaitu satu inisiatif keamanan," katanya.
Menyentuh dua rakyat Malaysia yang ditahan di Teluk Guantanamo, Cuba kerana disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan, Abdullah berkata, Kedutaan Malaysia di Washington telah diminta menghubungi pihak berkuasa Amerika Syarikat bagi mempastikan mereka mendapat keadilan ketika berhadapan dengan proses undang-undang.
Laporan media sebelum ini mengenalpasti tahanan terbabit sebagai Mohammad Nazir Lep dan Mohd Farik Amin.

