Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR gesa MP Tebrau selesaikan isu Sungai Kim Kim
Diterbitkan:  Mar 9, 2021 3:04 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

PKR Johor menggesa Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong menggunakan 'akses baru' yang dimilikinya bagi mengatasi pencemaran sungai yang berlaku di kawasan parlimen berkenaan.

PKR berkata, Choong keluar dari parti berkenaan bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dengan alasan untuk mendapat akses berjumpa menteri atau ketua-ketua agensi kerajaan bagi menyelesaikan isu-isu rakyat di parlimen itu.

Mengulas perkara itu Choong berkata dia akan mengunjungi lokasi berkenaan bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man petang ini.

"Saya akan berada di kawasan itu bersama menteri pada pukul 3 petang," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, tompokan hitam dikesan di sepanjang Sungai Kim Kim, menimbulkan kebimbangan kejadian yang berlaku pada 2019 apabila sisa kimia yang dibuang ke sungai itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 penduduk, manakala ratusan lagi dirawat di hospital.

Terdahulu, Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse dan Ketua PKR Tebrau Teoh Eng Hoon, dalam satu kenyataan bersama, meminta Choong menyelesaikan masalah tersebut.

Teoh baru-baru ini menggantikan tempat Choong sebagai ketua PKR Tebrau.

Mereka berkata sungai berkenaan terletak dalam kawasan parlimen Tebrau.

"Justeru, kita mendesak supaya Ahli Parlimen Tebrau segera turun padang selesaikan isu pencemaran Sungai Kim Kim dan pastikan ia tidak lagi berulang pada masa hadapan.

"Sekiranya isu pencemaran ini tidak dapat diselesaikan seberapa segera, kita desak supaya Ahli Parlimen Tebrau meletakkan jawatan serta merta," tegas mereka.

Lihat Komen
ADS