Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Polis berjaya menahan seorang lelaki kira-kira tujuh jam selepas dia disyaki membunuh isterinya di sebuah rumah kongsi Kampung Tanah Merah Checkpoint, KM50, Jalan Tawau Semporna, dekat Tawau, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata dalam kejadian hari Ahad, polis menerima satu panggilan telefon pada pukul 7.06 malam mengenai penemuan satu mayat wanita mengandung dengan kesan tetakan di belakang leher di sebuah rumah kongsi.

Peter berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki warga Filipina berumur 22 tahun disyaki membunuh isterinya di ruang tamu rumah mereka menggunakan parang berukuran panjang 68 sentimeter pada kira-kira pukul lima petang.

"Motif kejadian adalah perselisihan faham apabila suspek dapat tahu mengenai hubungan sulit si mati, namun si mati enggan menceritakannya dengan lebih lanjut kepada suspek," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Peter berkata suspek yang bekerja sebagai buruh ladang itu ditahan pada pukul 12.05 tengah malam kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian, dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.

"Polis turut merampas parang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh isterinya yang berumur sekitar 20-an itu," katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS