Pengusaha restoran gesa k'jaan tangguh Akta 446
Dua persatuan pengusaha restoran hari ini memohon kerajaan persekutuan supaya menangguhkan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sehingga hujung tahun ini.
Ini kerana kata Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) mereka tidak diberi masa yang mencukupi untuk membuat persediaan menambah baik standard penginapan pekerja masing-masing.
"Akta ini dikuatkuasa bagi sektor makanan pada 26 November tahun lepas. Tetapi, sebelum membuat persediaan PKP 2.0 (Perintah Kawalan Pergerakan) dikuatkuasa semula pada Januari.
"Jadi, kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan. Maka, kami nak jasa baik kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan akta ini sehingga hujung tahun ini," kata Presiden Primas J Govindasamy dan Naib Presiden Presma Abdul Mukthahir M Ibrahim kepada Malayskini.

Untuk rekod, Pindaan kepada Akta 446 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan disahkan oleh Dewan Negara pada 31 Julai 2019 serta diwartakan pada 18 September 2019.
Majikan yang gagal mematuhi Akta 446 ini mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 bagi setiap pekerja.
Bagaimanapun, Abdul Mukthahir berkata denda itu kini dinaikkan kepada RM200,000 bagi setiap pekerja selepas pengisytiharan darurat.
"Selepas restoran dibenarkan beroperasi, Jabatan Tenaga Pekerja (PTK) di beberapa kawasan mula memantau restorannya sama ada sudah memenuhi syarat yang ditetapkan.
"Lebih parah lagi, kelulusan PBT (pihak berkuasa tempatan) merupakan salah satu syarat di bawah akta ini.
"Mustahil bagi kami nak mendapatkan kelulusan daripada PBT dalam masa yang singkat. Ini kerana PBT di bawah kuasa kerajaan negeri. Piawaian dan syarat PBT berbeza di setiap negeri menyebabkan pengusaha restoran menghadapi kesusahan dalam mendapatkan kelulusan.

"Cadangan kami kepada kerajaan pusat adalah bahawa kerajaan perlu selaraskan syarat standard ruang minimum kediaman yang sama di semua PBT atau kelulusan PBT perlu ditangguhkan buat masa ini," katanya.
Antara lain, akta itu mewajibkan majikan supaya tidak menempatkan pekerja mereka di bilik-bilik yang sempit dan kurang sesuai. Majikan juga disyaratkan supaya menyediakan kemudahan lain seperti tandas dan tempat memasak, selain tidak menyediakan alat pemadam kebakaran yang sesuai
Sementara itu, Govindasamy menjelaskan bahawa syarat yang ditetapkan oleh kerajaan akan menelan kos tinggi kepada pengusaha restoran.
"Ini kerana, bila kami memohon kelulusan PBT, kediaman pekerja asing perlu mempunyai semua fasiliti hampir sama dengan hotel termasuk tangga kecemasan.

"Kalau, campur kos arkitek, kos jurutera dan kos yang lain ia menelan lebih kurang RM100,000.
"Bayangkan, perniagaan kami sudah hampir terjejas 80 peratus bagaimana kami nak belanjakan wang yang sebesar itu?" soalnya.
"Sebab itu, kami meminta kerajaan memberi tempoh masa sehingga hujung tahun ini sebelum membuat pemeriksaan," katanya lagi.

