mk-logo
Berita
Kritik TMJ - Tamrin berdepan hukuman penjara setahun
Diterbitkan:  Mar 10, 2021 10:47 AM
Dikemaskini: 6:07 AM

Tamrin Abdul Ghafar berdepan hukuman penjara setahun susulan catatannya di blog yang mengkritik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ini selepas Tamrin, anak kepada bekas timbalan perdana menteri allahyarham Abdul Ghafar Baba didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika didapati bersalah, selain penjara setahun, Tamrin juga boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 233 (1)(a) akta itu memperuntukkan kesalahan menggunakan "mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati,bmenganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain."

Pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Tamrin, menerusi hantaran blog bertarikh 2 Feb tahun lalu, membidas kritikan Tunku Ismail terhadap perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad dan juga memanggilnya dengan gelaran yang merujuk kepada penampilan fizikalnya.

Catatan blog itu juga dimuat naik pada akaun Facebook Tamrin.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000. Pengurusan kes ditetapkan pada 23 Mei.

Tamrin diwakili oleh peguam Rafique Rashid Ali manakala pendakwaan diwakili oleh Yusaini Amir Abdul Karim dan Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Tamrin didakwa buat komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Johor

Sementara iti, Bernama melaporkan bekas Ahli Parlimen Batu Berendam Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membuat komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Johor menerusi catatan di blog, tahun lepas.

Mohd Tamrin, 71, yang juga anak bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, Mohd Tamrin dengan menggunakan blog “tamrintunghafar” di pautan https:/tamrintunghafar.blogspot.com didakwa secara sedar membuat komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain, yang dibaca di laman ‘Page Facebook Dato Tamrin Tun Abdul Ghafar’.

Catatan itu membabitkan artikel mengaitkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Mohd Tamrin didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Media RPO Services, Jalan Persiaran Southkey 1, Kota Southkey di Johor Bahru, kira-kira 7 malam, 2 Feb 2020.

Mohd Tamrin didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan yang dikendalikan Ketua Unit, Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman menawarkan jaminan RM20,000 terhadap Mohd Tamrin.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan tidak lebih RM5,000 dengan alasan Mohd Tamrin kini seorang penganggur dan mempunyai masalah jantung yang memerlukan rawatan bulanan di Institut Jantung Negara (IJN).

Wan Mohd Norisham membenarkan Mohd Tamrin diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Mei untuk sebutan semula bagi pengurusan kes.

Lihat Komen
ADS