Tun Dr Mahathir Mohamad yang kalah dalam pemilihan perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu Sabtu lalu mendakwa, politik wang menjadi punca utama kekalahannya.

Menurutnya, perwakilan telah dirasuah dengan wang RM200 yang diberikan dalam sampul surat yang turut mengandungi senarai nama perwakilan yang perlu dipilih.

"Saya yakin keputusan pemilihan di Kubang Pasu itu dipengaruhi oleh rasuah. Saya memang tidak dapat membuktikannya tetapi ada orang nampak sampul surat diberikan kepada perwakilan. Wang yang menentukan keputusan Sabtu lalu," katanya kepada para wartawan di Putrajaya hari ini.

"Kegagalan di Kubang Pasu ini tidak akan mengubah pendirian saya. Walaupun saya kalah tapi ia adalah satu kemenangan moral,"tambahnya

Sebelum itu Dr Mahathir menerima kunjungan kira-kira 100 penyokongnya di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Penyokong bekas Presiden Umno itu berkumpul di Putrajaya untuk memberikan sokongan kepadanya sebelum beliau berlepas ke beberapa buah negara Asia Barat termasuk Iran dan Pakistan selama 10 hari petang ini.

Menurut Dr Mahathir lagi, kempen untuk menewaskannya dibuat secara keterlaluan dengan kerajaan negeri Kedah menggunakan semua jentera kerajaan seolah-olah ia satu pemilihan presiden parti.

'Tidak tutup mulut'

Bekas Perdana Menteri itu juga menegaskan beliau akan terus bercakap dan mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi walaupun gagal untuk menjadi perwakilan ke perhimpunan agung Umno.

Katanya, selagi Abdullah melakukan perkara yang tidak betul dalam pentadbiran negara, beliau tidak akan menutup mulutnya.

Menurutnya, Perdana Menteri telah melakukan sesuatu yang tidak betul apabila beliau berbohong tentang isu Scomi Berhad dengan mendakwa syarikat anaknya itu tidak mendapat kontrak kerajaan.

"Itu satu pembohongan dan saya akan terus bercakap, tiada siapa boleh menutup mulut besar saya," ujarnya.

Dr Mahathir hanya mendapat 227 undi untuk menduduki tempat kesembilan dalam pemilihan perwakilan ke perhimpunan agung Umno bagi bahagian Kubang Pasu Sabtu lalu. Anaknya Datuk Mukhriz berjaya meraih 298 undi untuk berada ditangga kelima.

Setiap bahagian Umno boleh menghantar tujuh perwakilan yang dipilih oleh perwakilan bahagian ke perhimpunan agung parti itu November ini atau dikenali sebagai G-7 bersama enam lagi wakil yang dipilih secara automatik dari barisan kepimpinan Umno bahagian berkenaan.