Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalimah Allah: Umat Islam sedia turun ke jalanan jika k’jaan tidak bertindak

Umat Islam sedia ke turun jalan raya sekiranya kerajaan gagal bertindak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii, berkata sehingga kini kerajaan pimpinan Perikatan Nasional yang diterajui Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilihat masih gagal mengambil tindakan drastik dengan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah itu

"Umat Islam sedia turun ke jalan raya bagi mengajar kerajaan sekiranya kerajaan gagal mengambil tindakan.

"Umat Islam sedia turun ke jalan raya bagi mempertahankan kalimah suci ini.

"Sehingga kini belum ada tindakan drastik daripada kerajaan, walaupun hanya satu jam diperlukan bagi memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah "Allah" pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.


          Baca: Larang bukan Islam guna Allah tidak sah - Mahkamah Tinggi


Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah "Allah" untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Hakim Nor Bee Ariffin membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun.

Pada 11 Mei 2008, CD berjudul 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah', 'Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah', telah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Dalam pada itu, Razlan menuntut menteri yang berkaitan supaya memberi penjelasan berhubung perkara itu.

"Oleh itu kita menuntut penjelasan daripada menteri yang sepatutnya, apa tindakan selanjutnya.

"Isu ini perlu ditangani segera demi keharmonian masyarakat berbilang kaum kerana hari ini umat Islam sedang bercakap mengenainya," katanya.

Lihat Komen
ADS