Seorang penyokong kerajaan mencadangkan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar disandang seumur hidup oleh penyandangnya bagi memastikan dasar-dasar dan projek kerajaan terus berjalan.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Raden (foto kanan) membuat cadangan itu ketika mencelah ucapan ahli Parlimen Johor Bharu, Datuk Shahrir Samad yang membahaskan bajet 2007 di Dewan Rakyat hari ini.

Shahrir sebelum ini membangkitkan soal dasar dan projek-projek kerajaan yang lembab dilaksanakan walaupun telah diumumkan pada tahun lalu.

Bung Moktar bertanya pada Shahrir: "Adakah anda bersetuju jika dijadikan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar dipegang oleh penyandangnya seumur hidup supaya sistem pentadbiran berjalan lancar?"

Shahrir, sambil ketawa dan sinis menjawab; "Hanya jawatan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar boleh dipegang seumur hidup."

Ahli Parlimen Johor Bharu itu mebambah; "Jawatan berkenaan bukan milik kita. Tidak wajar kita memegangnya seumur hidup, hanya jawatan pesara boleh dipegang sampai ke mati. Macam saya, saya boleh menjadi bekas menteri sepanjang hidup saya."

Shahrir pernah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Kebajikan Am pada tahun 1980an.

Beliau juga mengkritik ketidakkeberkesanan kakitangan awam dalam melaksanakan keputusan dan dasar kerajaan.

"Sebagai contoh Dasar Automotif Nasional yang telah diumumkan pada April lalu tetapi pelaksanaannya masih lembab," ujarnya.

Shahrir juga membangkitkan kelemahan dalam pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (NIP) yang diumumkan pada April 2004 tetapi belumpun dilaksanakan sepenuhnya di peringkat parliamen.

"Kalau Perdana Menteri terlalu sibuk untuk melaksanakannya, beliau boleh menyerahkannya kepada timbalannya atau menteri yang menyelia hal ehwal parlimen," katanya lagi.

Perhatian Shahrir terhadap isu ini turut dikongsi oleh penyokong kerajaan lain.

Datuk Zaid Ibrahim dari Kota Baru berkata, kabinet sepatutnya menyiapkan kertas dasar terlebih dahulu untuk diterangkan kepada kakitangan kerajaan sebelum mengumumkan sesuatu dasar baru.

Shahrir juga mempersoalkan perlantikan Ketua Setiausaha Negara yang baru, Datuk Mohd Sidek Hassan (foto kiri) kerana beliau tidak berpengalaman bertugas di kementerian lain selain dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri selama 28 tahun.

Menurut beliau, sepatutnya seorang kakitangan awam dilatih di pelbagai bidang dan jabatan sebelum dilantik memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.

Perbahasan bersambung esok. Berita asal.