Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sebab mulut badan binasa' - JPM beri peringatan pada penjawat awam

Pagi tadi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memuat naik satu peringatan di Twitter buat kakitangan awam agar tidak membuat pernyataan awam mengenai rancangan, dasar atau keputusan kerajaan.

“Sebab mulut badan binasa,” kata JPM di Twitter.

Hantaran itu disertakan grafik yang memetik Peraturan 19, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Berdasarkan grafik itu, peraturan berkenaan melarang kakitangan awam daripada:

- Membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan tentang apa-apa isu.

- Membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan.

- Membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan.

- Mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain.

 

Peringatan itu hadir lebih seminggu selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi peringatan sama.

Ia juga hadir di kala ada penjawat awam dipanggil memberikan keterangan kepada polis setelah membangkitkan dakwaan berkenaan kelemahan dalam pelaksanaan program kerajaan.

Pada masa sama, peringatan itu muncuk ketika kerajaan PN mendapat kritikan berhubung  Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021, yang dikatakan bagi mengekang “berita palsu” berkenaan wabak Covid-19 dan proklamasi darurat.

Bagi Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy, dalam keadaan rakyat dahagakan maklumat berhubung Covid-19, kerajaan sepatutnya menggunakan penjawat awam bagi membantu menyebarkan maklumat sahih, termasuk di media sosial.

Katanya, itu lebih wajar, bukannya menyekat penjawat awam daripada bersuara di saluran berkenaan atas alasan mengekang penyebaran berita tidak benar, atau atas alasan peraturan yang tidak membenarkan mereka berbuat demikian.

“Kalau dasar itu bagus, apa masalahnya mereka nak kongsi? Dan kalau sesuatu dasar itu ada masalah, sepatutnya orang (ramai) kena tahulah. Mereka (penjawat awam) mempunyai dua tanggungjawab.

“Bukan saja mereka bertanggungjawb kepada kerajaan atau kementerian, mereka juga mempunyai tanggungjawb kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sevan Doraisamy

Kata Doraisamy, sekiranya penjawat awam - khususnya yang terlibat dalam urusan Covid-19 - berasakan ada dasar atau amalan yang tidak sesuai dilaksanakan kerajaan, maka mereka harus diberikan ruang bersuara, termasuk di media sosial.

Lebih-lebih lagi, katanya, apabila “saluran-saluran yang betul” sedia ada untuk mereka menyampaikan aduan, disekat atau tidak diendahkan.

“Mereka akan ke media sosial untuk meluahkan kepada rakyat. Saluran itu tak boleh ditutup,” katanya.

“[...] Kalau masalah dapat diselesaikan dengan mengikut saluran betul, sudah lama masalah-masalah selesai, tak ada korupsi. (Tetapi) Kita tahu banyak isu dan korupsi merata-rata,” katanya.

Katanya, berbanding mengambil sikap mengetepikan, kerajaan seharusnya menangani isu yang dikedepankan oleh penjawat-penjawat awam di media sosial.

“Kakitangan awam yang betul-betul mempunyai rasa tanggungjawab dan kewibawaan, dia akan mencari jalan untuk sampaikan (sesuatu) isu kepada rakyat.”

Seharusnya, kata Doraisamy, kerajaan membuat pelaburan bagi meningkatkan mentaliti penggunaan media sosial dalam kalangan penjawat awam.

Dengan cara itu, penjawat awam dapat membantu kerajaan menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat yang mempunyai banyak persoalan mengenai dasar kerajaan, lebih-lebih lagi di musim Covid-19.

Katanya, kerajaan yang tidak tahu soalan yang berlegar di fikiran rakyat ialah kerajaan yang gagal mendampingi rakyat, manakala kerajaan yang tahu persoalan rakyat tetapi tidak mahu memberikan jawapan, adalah kerajaan yang lari daripada tanggungajawab.

“Kalau dia (kerajaan) hendak sembunyikan jawapan, adakah kerajaan mahu menyembunyikan sesuatu?”

“Semakin disekat, semakin ditutup ruangan untuk (mendapatkan) maklumat, semakin banyak spekulasi. Untuk mengurangkan spekulasi, kerajaan kena keluarkan lebih banyak maklumat yang rakyat hendak tahu,” tambahnya.

Penjawat awam sedia maklum

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Abdul Rahman Mohd Nordin pula menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa peringatan daripada JPM dan KKM itu sebagai usaha menakut-nakutkan penjawat awam daripada bersuara.

Katanya, ia dakwaan tidak berasas memandangkan sejak dahulu lagi, penjawat awam sedia maklum akan larangan berkenaan larangan membuat pernyataan awam, melainkan menerusi kesatuan sekerja seperti Cuepacs.

“Jangan membuat kenyataan tidak berasas,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 4 Mac lalu, KKM mengingatkan para pegawainya untuk tidak membuat kenyataan mengenai dasar, program, atau keputusan kerajaan tanpa mendapatkan persetujuan daripada kementerian tersebut.

KKM sebaliknya menyatakan pegawai KKM menggunakan saluran tepat untuk membuat aduan.

Sebelum itu, doktor perunding dan ahli nefrologi Dr Rafidah Abdullah berkongsi paparan mesej yang mendakwa ada usaha memotong barisan vaksinasi Covid-19 daripada pejabat setiausaha negeri (SUK) Kelantan di negeri itu.

Susulan itu, kerajaan negeri membuat laporan polis dan Dr Rafidah dipanggil memberikan keterangan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui dia ada menerima emel secara langsung daripada pemberi maklumat berkenaan isu itu, dan telah meminta Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk tidak menghukum pemberi maklumat.

Selain itu, ada juga kakitangan KKM yang menggunakan saluran media bagi membangkitkan permasalahan yang dihadapi mereka, tanpa mereka mahu dinamakan.

Hari ini, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan apakah Ordinan Darurat mengenai berita palsu akan digunakan terhadap Dr Rafidah.

Ordinan yang berkuat kuasa hari ini itu, mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk peguam, ahli politik - yang mendakwanya sebagai percubaan kerajaan mengawal naratif di media - serta NGO kewartawanan yang bimbang ia disalahgunakan ekoran takrif ‘berita palsu’yang tidak jelas.

Menerusi ordinan itu, pihak yang terlibat dalam penerbitan dan penyebaran berita tidak benar boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Lihat Komen
ADS