Sebanyak 106,820 pertubuhan NGO dan awam sudah mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam negara, namun tiada yang berkaitan dengan pertubuhan Melayu-Kristian.

Demikian ditegaskan Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) yang ingin tahu mengenai satu pergerakan Melayu-Kristian yang dikatakan disebarkan melalui SMS.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata,Pendaftar Pertubuhan tidak mempunyai rekod atau menerima sebarang maklumat berkenaan dengan persatuan yang dikatakan itu.

"Jika ada bukti sah dan nyata mengenainya, sila lapor kepada ROS. Kita akan siasat dan ambil tindakan," kata Abdul Rahman.

Katanya setiap pertubuhan berdaftar juga dikehendaki menghantar laporan tahunan termasuk penyata kewangan kepada ROS, dan tindakan akan diambil sekiranya sesebuah persatuan itu didapati menyeleweng akaun kewangan mereka.

Selain itu, katanya ROS juga mengadakan pemeriksaan mengejut ke atas persatuan-persatuan bagi memeriksa segala aktiviti mereka, dan menurutnya 635 pemeriksaan sudah dijalankan tahun ini.

"Kita juga menjalankan siasatan aduan sebanyak 148 kes tahun ini dan lima kertas siasatan sedang diadakan bagi menentukan semua pertubuhan yang ada berjalan berdasarkan peraturan dan perlembagaan yang ditetapkan," katanya.