Umno bahagian Kubang Pasu mungkin diminta mengemukakan laporan kepada pucuk pimpinan ekoran dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa berlaku rasuah dalam pemilihan Sabtu lalu untuk memilih perwakilan ke perhimpunan agung Umno.

Sambil menyifatkan dakwaan Dr Mahathir itu sebagai "amat berat", Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun berkata, Umno mempunyai mekanisme untuk mengambil tindakan berhubung perkara seperti tersebut.

Dalam pertandingan tersebut Sabtu lalu, Dr Mahathir gagal terpilih apabila hanya mendapat 227 undi ditangga kesembilan. Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan ke perhimpunan agung umno, iaitu enam dari kalangan pemimpin bahagian dan tujuh lagi dipilih dalam mesyuarat perwakilan.

Bercakap kepada pemberita di Putraya semalam, Dr Mahathir mendakwa politik wang menjadi punca utama kekalahannya. Beliau mendakwa, perwakilan telah dirasuah dengan wang RM200 yang diberikan dalam sampul surat yang turut mengandungi senarai nama perwakilan yang perlu dipilih.

Sementara itu, menurut laporan Bernama, Abdullah berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu Datuk Mohamed Johari Baharom kerana mereka lebih tahu mengenainya.

Dalam pada itu, ketika bercakap kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Mesyuarat Asia-Eropah di Helsinki semalam, Abdullah menarik perhatian bahawa beliau sebelum ini ada berpesan kepada Mahdzir dan Johari supaya tidak membawa orang luar bagi mencampuri urusan Umno Kubang Pasu.

"Apa yang saya kata, yang saya ingat dalam ingatan saya, jangan bawa orang luar masuk untuk ganggu anggota Umno atau Bahagian Umno Kubang Pasu.

"Itu yang saya kata pada mereka. Saya beritahu Mahdzir dan Johari jangan bawa orang lain masuk, bahagian lain tak usahlah. Ini cerita Kubang Pasu, biarlah Kubang Pasu buat keputusan," katanya.