Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'DAP takkan gadai maruah negara demi wang dan ugutan untuk sokong PN'

DAP tidak akan menggadaikan maruah negara demi wang dan ugutan untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng.

Berucap kepada para perwakilan di Konvensyen DAP Perak pagi ini, Ahli Parlimen Bagan itu menyentuh mengenai tindakan beberapa ahli parlimen pembangkang  melompat parti untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Terbaru semalam, Naib Presiden PKR yang juga ahli parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar mengumumkan keluar parti untuk menyokong kepimpinan Muhyiddin.

Dalam ucapannya Lim mengakui tidak mudah bagi ahli-ahli parlimen DAP menerima tekanan sedemikian.

"Baru-baru ini kita lihat banyak berita ahli parlimen PKR yang lompat.

"Saya baca kenyataan (Setiausaha Agung PKR) Saifuddin (Nasution Ismail ) semalam, (ahli parlimen) Kuala Langat ditekan untuk melompat dan sokong PM kerana tak boleh tahan disasarkan dan diugut SPRM.

"Ahli parlimen PKR Sivarasa (Rasiah) juga menyatakan Xavier ditekan selepas disiasat secara berpilih oleh SPRM.

"Saya tahu itu bukan mudah untuk 42 ahli parlimen yang dipilih pada 2018 dan masih bersama parti DAP. Bukan mudah untuk menghadapi tekanan sedemikian tak kira apa-apa bentuk.

"Tetapi menjelang kita meraikan ulang tahun ke-55 penubuhan parti DAP, saya ingin menyatakan bahawa kami semua, ahli-ahli, wakil-wakil dan pemimpin akar umbi parti DAP, kita berpegang teguh ke atas prinsip idealisme dan pegangan bahawa kita berjiwa rakyat.

"Kita takkan gadai maruah negara demi wang dan ugutan," katanya.

Lim bagaimanapun tidak menjelaskan tekanan dan ugutan yang dihadapi Ahli Parlimen DAP sejak PRU lalu.

Semalam, Xavier mengumumkan peletakan jawatan dalam PKR bagi menjadi ahli parlimen bebas dan menyokong kerajaan Muhyiddin.

Langkah itu diambil hanya beberapa minggu setelah beberapa ahli politik yang rapat dengan Xavier disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sivarasa kemudian mendakwa Xavier tidak akan melompat parti jika tiada "siasatan terpilih dilakukan SPRM".

Lim memberitahu para perwakilan bahawa adalah penting bagi anggota parlimen untuk bertahan dalam menghadapi ugutan.

"Yang penting ialah macam mana kita boleh pulihkan demokrasi berparlimen supaya ahli-ahli parlimen kita boleh jalankan tugas, suarakan hasrat rakyat, bela rakyat.

"Ahli-ahli parlimen dipilih bukan untuk dijual seperti lembu, bukan mudah digertak diugut, kita kena berani berdiri hadapi segala cabaran, pertahankan dan wakili pengundi. Itu adalah tugas seorang wakil rakyat," katanya.

'Politik kotor dan haprak'

Bekas menteri kewangan itu juga mengulas kenyataan menteri kabinet, Azmin Ali dan Annuar Musa yang membayangkan lebih ramai ahli parlimen akan melompat parti bagi menyokong kerajaan.

Menyifatkannya sebagai "politik kotor dan haprak", Lim berkata rakyat perlu menghalang PN merampas hak-hak demokrasi dan memenangkan semula Pakatan Harapan.

"Ini bukan politik kotor dan haprak yang kita mahu. Yang kita mahu adalah politik yang tegakkan sosial ekonomi, peluang hak saksama, kedaulatan undang-undang.

"Yang boleh beri inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk lihat masa depan lebih baik, pastikan kita boleh hidup lebih senang daripada dulu

"Barulah boleh rasa Malaysia milik kita semua, bukan hanya orang atas yang boleh beli sana beli sini. Sebab itu kita harus bersatu halang PN daripada merampas demokrasi kita," katanya.

Lihat Komen
ADS