Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wakil rakyat Sabah, Sarawak gesa k’jaan tarik balik rayuan kes Allah
Diterbitkan:  Mar 16, 2021 5:08 AM
Dikemaskini: 5:24 AM

Sekumpulan wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak, yang mewakili pihak kerajaan mahupun pembangkang menyeru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menarik balik rayuan oleh kerajaan persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam.

Dalam satu kenyataan bersama, 50 wakil rakyat dan empat ahli Dewan Negara itu, berkata, dengan berbuat demikian, ia akan dapat menamatkan polemik yang dihadapi oleh masyarakat di Sabah, Sarawak serta Orang Asli yang sudah berlanjutan lebih 35 tahun.

Mereka juga meminta semua parti politik untuk tidak menangguk di air keruh dan mencari keuntungan politik dalam isu berkenaan.

“Kami menyeru kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menarik balik rayuan oleh kerajaan Persekutuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi itu supaya polemik yang berusia 35 tahun ini dan penderitaan yang ditanggungi oleh begitu ramai orang Sabah, orang Sarawak dan Orang Asli, Insya-Allah, dapat tamat.

“Ini akan menjadi satu legasi positif bagi Perdana Menteri.

“Kami menyeru semua parti politik untuk tidak menangguk di air keruh dan mencari keuntungan politik dalam kes ini,” kata mereka.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah "Allah" kepada orang bukan Islam pada 1986.

 Justeru mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah "Allah" untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Susulan itu, adalah diputuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Susulan keputusan itu, beberapa NGO dan kumpulan pendesak Melayu menuntut agar Putrajaya mengemukakan rayuan berhubung keputusan berkenaan.

Semalam, kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Dalam kenyataan sama, mereka menjelaskan bahawa kalimah Allah dan istilah keagamaan Islam dikongsi oleh kebanyakan orang Kristian Borneo dan Orang Asli, sama seperti yang berlaku di beberapa kawasan dan kaum di Indonesia.

“Di Sarawak, Bahasa Iban menggunakan ‘Allah Taala’, Bahasa Bidayuh menggunakan ‘Tuhan Alla’ sebagai kalimah untuk Yang Maha Esa manakala Lun Bawang, Lun Dayeh dan Kelabit menggunakan ‘Tuhan Allah’,”.

Kata mereka, umat Islam di Sabah dan Sarawak menyokong dan tidak berasa terancam dengan saudara-mara atau teman Kristian mereka yang menyembah Allah, untuk semua agama wahyu yang berakarkan daripada ajaran Nabi Ibrahim.

Mereka juga menyifatkan keputusan kabinet persekutuan pada tahun 1986 - yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah - sebagai satu kekhilafan.

Kekhilafan pada masa itu, kata mereka, disebabkan tekanan sesetengah orang Malaya yang rasa tidak selamat dan “jahil” akan keadaan di Sabah dan Sarawak, serta sifat angkuh mereka dengan tanggapan bahawa orang Malaya boleh menentukan cara hidup di Sabah dan Sarawak.

Keputusan mahkamah tinggi itu, kata mereka, tidak akan menyebabkan pendakwahan ke atas orang Islam dan kemurtadan mereka, sebaliknya dakwa mereka, ia hanyalah ketakutan tidak berasas yang cuba diapi-apikan oleh sesetengah orang Malaya.

“Keputusan Mahkamah Tinggi ini sekadar memperbetulkan satu ketidakadilan yang menyakiti hati orang Sabah, orang Sarawak dan Orang Asli akibat kegelisahan, kejahilan dan keangkuhan sesetengah (pihak),” kata mereka lagi.

Kenyataan itu disokong oleh:

Ahli Dewan Rakyat (Kawasan)

Wilfred Madius Tangau (P170 Tuaran)

Chan Foong Hin (P172 Kota Kinabalu)

Darell Leiking (P174 Penampang)

Noorita Sual (P181 Tenom)

Vivian Wong Shir Yee (P186 Sandakan)

Christina Liew (P190 Tawau; N20 Api-api)

Mordi Bimol (P192 Mas Gading)

Kelvin Yii Lee Wuen (P195 Bandar Kuching)

Chong Chieng Jen (P196 Stampin)

Willie Mongin (P198 Puncak Borneo)

Richard Riot Anak Jaem (P199 Serian)

Masir Kujat (P202 Sri Aman)

Wong Ling Biu (P208 Sarikei)

Larry Sng (P209 Julau)

Alice Lau Kiong Yieng (P211 Lanang)

Oscar Ling Chai Yew (P212 Sibu)

Baru Bian (P214 Selangau)

Anyi Ngau (P220 Baram)


Ahli Dewan Negara

Adrian Lasimbang

Alan Ling Sie Kiong

Donald Peter Mojuntin

Robert Lau Hui Yew

Adun Sabah (Kawasan)

Ewon Benedick (N11 Kadamaian)

Peto Galim (N18 Inanam)

Tan Lee Fatt (N19 Likas)

Phoong Jin Zhe (N21 Luyang)

Jannie Lasimbang (N25 Kepayan)

Peter Anthony (N42 Melalap)

Calvin Chong Ket Kiun (N55 Elopura)

Frankie Poon Ming Fung (N56 Tanjong Papat)

Justin Wong Yung Bin (N69 Sri Tanjong)

Adun Sarawak (Kawasan)

Ranum Mina (N1 Opar)

Harry Henry Jinep (N2 Tasik Biru)

Violet Yong Wui Wui (N10 Pending)

See Chee How (N11 Batu Lintang)

Miro Simuh (N18 Serumbu)

Martin Ben (N22 Kedup)

John Ilus (N23 Bukit Semuja)

Snowdan Lawan (N30 Balai Ringin)

Johnical Rayong (N33 Engkilili)

Gerald Rentap Jabu (N36 Layar)

Rolland Duat (N48 Meluan)

Alexander Vincent (N49 Ngemah)

Allan Gramong (N50 Machan)

Irene Mary Chang Oi Ling (N51 Bukit Asek)

Wong Soon Koh (N53 Bawang Assan)

David Wong Kee Woan (N54 Pelawan)

Christopher Gira (N59 Tamin)

Wilson Nyabong (N61 Pelagus)

Jefferson Jamit (N63 Bukit Goram)

Kennedy Chuk Pai (N66 Murum)

Chiew Chiu Sing (N68 Tanjung Batu)

Majang Renggi (N70 Samalaju)

Dennis Ngau (N77 Telang Usan)


Senarai parti terlibat:

1. Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP)

2. Parti Demokratik Progresif (PDP)

3. Parti Keadilan Rakyat (PKR)

4. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)

5. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

6. Parti Rakyat Sarawak (PRS)

7. Parti Sarawak Bersatu (PSB)

8. Parti Tindakan Demokratik (DAP)

9. Parti Warisan Sabah (Warisan)

10. Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

11. Bebas

Lihat Komen
ADS