SJKC: Hisham terkilan dengan dakwaan Tee Keat
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Ong Tee Keat kononnya ada pegawai kerajaan yang melesapkan peruntukan untuk dua buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Johor baru-baru ini.
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Ong Tee Keat kononnya ada pegawai kerajaan yang melesapkan peruntukan untuk dua buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Johor baru-baru ini.
Hishammuddin turut mempertikaikan tindakan Ong yang membuat tuduhan itu dalam suatu majlis makan malam di Muar yang dihadiri para guru SJKC terbabit dan pemimpin masyarakat Cina setempat.
"(Ong) seolah-olah ingin menunjukkan hanya beliau pemimpin yang memperjuangkan nasib kaum Cina," kata Hishammuddin kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.
Menurut laporan Bernama, tuduhan Ong itu dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina Sabtu lalu.
Menurut akhbar itu Ong mendakwa pegawai kerajaan terbabit cuba menutup kesalahan mereka melesapkan peruntukan berkenaan, dan penyelewengan itu berlaku, kerana golongan itu tidak menghiraukan aduan daripada rakyat.
Penilaian kos
Hishammuddin berkata timbalannya Datuk Hon Choon Kim telah melawat kedua-dua sekolah berkenaan iaitu SJKC Kung Yu dan SJKC Ai Hwa.
"Hasil lawatan itu didapati hanya SJKC Kung Yu mempunyai sedikit masalah dengan penilaian kos kerja dengan kontraktor yang dilantik Jabatan Kerja Raya, manakala kerja pembaikan sekolah SJKC Ai Hwa tidak seteruk mana seperti yang digembar-gemburkan," katanya.
Hishammuddin menjelaskan bahawa daripada peruntukan khas RM10 juta untuk sekolah-sekolah tidak selamat yang diluluskan pada Oktober 2005, SJKC merupakan kumpulan penerima terbesar membabitkan 114 buah, termasuk dua buah sekolah yang dibangkitkan Ong.
"Saya tidak pernah marah atau emosi tak tentu arah. Tetapi yang saya terkilan ialah isu penyelewengan (peruntukan RM10 juta) ini, sebab saya tidak pernah berkompromi dalam hal sebegini.
"Sekiranya ada, saya dari dulu lagi akan mengambil tindakan tegas," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.