Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 anggota polis antara 4 ditahan kes samun kedai 24 jam
Diterbitkan:  Mar 16, 2021 11:59 PM
Dikemaskini: 3:59 PM

Polis menahan tiga lelaki termasuk dua anggota polis dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam satu kes samun di sebuah kedai 24 jam di Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi di kawasan SS6 itu, seorang wanita memasuki premis kedai berkenaan dengan memakai vest polis dan mengambil beberapa barang di dalam kedai itu tanpa membuat bayaran.

Katanya pekerja kedai itu cuba meminta bayaran namun wanita terbabit memberi alasan pegawai atasannya akan datang untuk membuat bayaran dalam tempoh sejam.

Wanita berkenaan, kata Nik Ezanee, dia terus melarikan diri dengan menaiki kereta peronda polis jenis Honda Civic.

“Antara barang yang diambil ialah lima kotak rokok pelbagai jenama, pemetik api dan gula-gula yang kesemuanya bernilai RM146.30,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata hasil siasatan polis menahan dua anggota berumur 31 dan 38 tahun pada sebelah petangnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Pada sebelah malam pula katanya seorang wanita dan lelaki tempatan, masing-masing berumur 36 dan 27 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan kejadian.

Nik Ezanee berkata semakan polis mendapati wanita itu mempunyai tujuh rekod kes jenayah dan satu kes dadah manakala lelaki yang ditahan itu mempunyai lima rekod kes jenayah dan lapan kes dadah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS