Peserta ekspedisi Putera Umno didakwa berpesta seks
Penduduk Teluk Muroh di Lumut dilaporkan terpaksa membuat aduan kepada Pejabat Agama Islam daerah apabila sekumpulan peserta expedisi anjuran Putera Umno mandi dan berendam dalam kolah mengambil wuduk di masjid kampung tersebut.
Penduduk Teluk Muroh di Lumut dilaporkan terpaksa membuat aduan kepada Pejabat Agama Islam daerah apabila sekumpulan peserta expedisi anjuran Putera Umno mandi dan berendam dalam kolah mengambil wuduk di masjid kampung tersebut.
Mereka dikatakan terpaksa membuat aduan itu selepas teguran mereka tidak diendahkan oleh peserta terbabit.
Manakala lapan remaja lelaki dan perempuan peserta expedisi tersebut dilaporkan ditangkap kerana berkhalwat di sebuah hotel di pekan tersebut.
Kejadian itu didedahkan oleh akhbar tabloid
Harian Metro
hari ini. Menurut akhbar tersebut, peserta Merdeka Putera Bermotor Kuala Lumpur-Teluk Batik 2006, anjuran Putera Umno, terdiri daripada 8,000 Mat dan Minah Rempit.
Mereka berkumpul selama dua hari di Teluk Batik pada hari Sabtu dan Ahad yang lalu.
Aduan tersebut dibuat oleh jawatankuasa pengurusan masjid berkenaan mengenai kejadian itu yang dilaporkan berlaku ketika diadakan program membersihkan masjid.
Dalam operasi bersepadu yang dijalankan Pejabat Agama Manjung (PAIDM), Seri Iskandar dan Kampung Gajah, kemudiannya, lapan remaja lelaki dan perempuan berusia 15 hingga 19 tahun peserta ekspedisi itu ditahan di sebuah hotel di Lumut.
Tangkap khalwat
Akhbar tersebut memetik Pegawai Penguatkuasa PAIDM, Mohd Zainuddin Mohamed Zaini sebagai mengesahkan telah menerima laporan daripada jawatankuasa pengurusan masjid berkenaan.
Katanya, dalam serbuan tersebut mereka mendapati sebuah bilik dikongsi tiga lelaki bersama seorang remaja perempuan.
Manakala bilik kedua dikongsi dua remaja lelaki berusia 18 tahun dan dua remaja perempuan masing-masing berusia 18 dan 15 tahun dalam keadaan mabuk.
Turut ditemui, katanya, botol arak dan remaja dari Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah itu juga menunjukkan surat penyertaan mereka dalam ekspedisi tersebut.
Semua remaja terbabit akan didakwa di Mahkamah Syariah Manjung atas kesalahan berkhalwat pada 7 November depan.
Mohd Zainuddin berkata, penduduk juga mengadu peserta ekspedisi itu bebas minum arak, berkhalwat dan menyalahgunakan kemudahan masjid.
Manakala beberapa peserta perempuan pula dikatakan berpakaian menjolok mata dan keterlaluan ketika menjalankan aktiviti membersihkan kawasan masjid dan kubur.
Azeez nafi
Harian Metro
juga memetik Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai salahlaku itu.
Sebaliknya, beliau dilaporkan berkata, peserta terbabit dijaga secara ketat dengan bantuan lebih 100 anggota Rela dan polis yang bertugas secara bergilir-gilir.
Di samping itu, katanya, tiga sekatan jalanraya atau pusat pemeriksaan keselamatan oleh anggota polis trafk turut diadakan di jalan keluar masuk dari kawasan perkhemahan di Teluk Batik.
Menurutnya, seramai 7,700 peserta lelaki di tempatkan di kawasan perkhemahan di kawasan pantai, manakala 300 peserta wanita ditempatkan di motel di situ.
Sehubungan itu beliau menafikan ada peserta ekspedisi itu yang terlepas sehingga ditangkap atas kesalahan melakukah khalwat di sebuah hotel di Lumut sepanjang tempoh program berkenaan.
Mengenai dakwaan ada segelintir peserta yang berendal dalam kolah wuduk masjid tersebut, Azeez berkata, ia tidak mungkin berlaku kerana ada lebih 100 orang di masjid berkenaan ketika program dijalankan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.