Projek pembinaan jambatan indah bagi menggantikan Tambak Johor telah dibatalkan tetapi Menteri Kanan Singapura, Goh Chok Tong berkata mungkin jambatan lain yang menghubungkan Malaysia-Singapura perlu dibina pada masa depan.

"Pada tahun-tahun akan datang, mungkin jambatan lain akan dibina," kata Goh dalam laporan Channel NewsAsia.

"Mungkin 20 hingga 30 tahun lagi, kita perlu memikirkan mengenai jambatan yang menghubungkan Singapura dengan Pulau Tekong dan ke kawasan pantai timur Malaysia.

"Tiga puluh tahun lagi, saya rasa akan wujud pembangunan di pantai timur yang memerlukan pembinaan sebuah jambatan," katanya.

Menurut laporan Bernama, Goh menegaskan demikian ketika megulas kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai hubungan antar kedua buah negara.

Ransang pertumbuhan

Bercakap kepada pemberita di Helsinki, Finland Isnin lalu, Abdullah berkata, hubungan antara Malaysia dan Singapura tidak seharusnya terjejas dengan pembatalan pembinaan jambatan indah.

Goh percaya, jambatan yang akan dibina pada masa depan boleh merangsang pertumbuhan dan pembangunan seterusnya di pantai timur Johor.

Beliau juga menyentuh mengenai perlunya Malaysia dan Singapura sama-sama mencari jalan untuk mengintegrasikan kedua ekonomi, sambil menegaskan, kedua belah pihak akan mendapat faedah daripada kerjasama seumpama itu.

"Tentunya, saya akan menggalakkan Perdana Menteri (Datuk Seri) Abdullah bekerjasama dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang agak baru menjadi perdana menteri Singapura, supaya melihat ke depan dan bukannya mengungkit perkara yang lalu.

"Masa saya dan masa Menteri Kanan, Lee Kuan Yew sudah berlalu. Walaupun masih ada isu-isu yang belum selesai tetapi kita perlu meliha ke depan," katanya dalam laporan tersebut.