Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jika bazar Ramadan dibuka, kenapa Parlimen berkunci? - Ahmad Maslan
Diterbitkan:  Mar 18, 2021 11:34 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Jika bazar Ramadan, sekolah dan sektor ekonomi dibuka kenapa Parlimen masih tidak dibuka, soal Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

Katanya, semakin ramai rakyat bersuara mempersoal tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PH) yang masih belum memulakan persidangan Parlimen.

Ahmad berkata, usia ahli Parlimen tidak seharusnya menjadi alasan untuk kerajaan tidak memanggil sidang Dewan Rakyat kerana 120 wakil rakyat berusia di bawah 60 tahun.

"Jika bazar Ramadan akan dibuka, sekolah sudah, ekonomi juga, tentulah tidak salah bertanya kenapa Parlimen belum dibuka.

"Saya ahli Parlimen yang sejak Januari 2021 meminta agar Parlimen dibuka. Saya antara ahli Parlimen yang paling kerap berbahas, bertanya dan beri cadangan-cadangan kepada kerajaan.

“Ada 100 ahli Parlimen umur lebih 60 tahun. Namun ada 120 umur kurang 60 tahun. Korum sidang untku Dewan Rakyat hanya 26 ahli Parlimen, eloklah ia dibuka,” ciapnya di Twitter, hari ini.

 Pada 3 Mac lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata bahawa sidang Parlimen akan ditangguh dalam tempoh darurat yang berkuatkuasa sehingga 1 Ogos ini.

Katanya, sebahagian besar anggota parlimen merupakan kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19 dan ini merupakan antara sebab parlimen ditangguhkan.

Menurutnya, daripada 220 ahli parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 orang berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.

"Hampir sebahagian ahli parlimen adalah kumpulan berisiko, jadi kita tidak mahu mereka terdedah kepada Covid-19 sebab berada di ‘confined area’ iaitu sempit dan tertutup.

“Apabila parlimen bersidang, seorang ahli parlimen akan bawa tiga pegawai bayangkan berapa ramai di tempat itu dengan kakitangan awam lagi,” kata pemimpin PAS itu.

Dalam pada itu Ahmad berkata, kerajaan seharusnya memainkan peranan yang lebih rasional kerana ramai pihak sudah mula menyuarakan pandangan mereka berkenaan situasi ini.

“Suara rakyat agar Parlimen dibuka semakin kuat didengar, kini terletak di tangan Kabinet untuk memberi nasihat yang tepat kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS