BTN diminta kemuka bukti unsur Yahudi meresapi kampus
Biro Tatanegara (BTN) diminta supaya mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya bahawa pertubuhan pelajar tertentu di universiti tempatan ditaja oleh unsur-unsur Yahudi dan Amerika Syarikat.
Biro Tatanegara (BTN) diminta supaya mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya bahawa pertubuhan pelajar tertentu di universiti tempatan ditaja oleh unsur-unsur Yahudi dan Amerika Syarikat.
"ASA (Persatuan Pelajar Asia) mengalu-alukan BTN untuk menunjukkan bukti kepada kita dan bersemuka dengan kita," kata Setiausaha Serantau ASA, Lee Khai Loon yang berpejabat di Kuala Lumpur.
Menurutnya, ASA adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpejabat di Hong Kong yang mempunyai 49 anggota di 31 negara di seluruh Asia Pasifik.
"Dari manakah BTN mendapat maklumat tersebut? Bagaimana mereka tahu sumber-sumber kewangan sebuah NGO yang berpejabat di Hong Kong?" katanya ketika dihubungi.
Semalam, malaysiakini melaporkan bahawa para pelajar tahun pertama Universiti Sains Malaysia (USM) diberitahu dalam sebuah seminar anjuran BTN bahawa unsur-unsur asing yang mahu melihat kekacauan berlaku Malaysia, telah menaja kumpulan pelajar tertentu.
Pencemah seminar tersebut mengaitkan persatuan pelajar tersebut dengan AS dan National Endowment for Democracy, sebuah pertubuhan yang mereka dakwa dibiayai oleh unsur-unsur Yahudi dan Amerika.
Menggugat perpaduan
Sementara itu, Lee berkata BTN telah menjadi 'alat kerajaan' untuk memfitnah NGO yang dianggap anti-establishment.
"Malaysia akan menyambut hari Kemerdekaan ke-50 tahun ini, tetapi kita masih mempunyai sebuah agensi kerajaan yang cuba menggugat perpaduan antara pelajar.
"Dalam era sekarang, masih terdapat sebuah agensi kerajaan yang berusaha untuk menabur kebencian terhadap komuniti kaum tertentu...ini amat membimbangkan," tambahnya.
Dalam seminar tersebut, penceramahnya menamakan kumpulan pelajar Cina berkenaan Gerakan Demokratik Pelajar dan Pemuda Malaysia (Dema) Persatuan Bahasa Cina USM (USMPBT) dan Barisan Progresif Pelajar USM (USMSPF).
Ketika dihubungi, Setiausaha Halehwal Antarabangsa Dema, Kong Wee Cheng bertanya mengapa para pelajar yang menghadiri seminar tersebut dilarang merakam atau mengambil foto sekiranya tiada apa yang hendak diselindungkan oleh BTN.
Katanya, dakwaan tersebut tidak berasas dan bertujuan untuk mewujudkan ketegangan antara pelajar pelbagai kaum.
Kong percaya seminar itu, yang disifatkannya sebagai 'program brainwashing', adalah bertujuan untuk mencemarkan imej kumpulan pelajar tertentu menjelang pilihanraya kampus Khamis minggu depan.
Sebagai langkah terakhir
Pengerusi USMPBT, Loo Chuan Boon berkata ini bukan kali pertama pihak berkuasa USM cuba 'memfitnah' persatuannya.
Dakwaan yang tidak berasas juga turut dibuat terhadap persatuan itu sewaktu minggu orientasi universiti tersebut Julai lalu, tambahnya.
Menurutnya, kepimpinan USMPBT telah bertanya kepada Timbalan Naib Canselor (Bahagian Halehwal Pelajar), Datuk Dr Jamaludin Mohaiadin mengenai dakwaan tersebut dalam satu perjumpaan awal tahun ini.
"Beliau mengelak menjawab soalan kita, dengan berkata lupakan yang sudah lepas," kata Loo ketika dihubungi.
Beliau menjelaskan, USMPBT menerima pembiayaan melalui persatuan-persatuan dan pertubuhan Cina serta melalui program mengumpul dana.
Ditanya mengenai satu lagi perkara yang dibangkitkan di seminar tersebut bahawa kumpulan pelajar tertentu mengadakan demonstrasi untuk menggugat keselamatan negara, Loo berkata, demonstrasi merupakan langkah terakhir apabila bentuk bantahan yang lain tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.
"Ini adalah hak di bawah perlembagaan, kita tidak mencetuskan huru-hara, kita hanya bertindak terhadap dasar yang tidak adil," tambahnya. Berita asal

