Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakej bantuan terbaru PM tidak mencukupi - bekas menteri kewangan
Diterbitkan:  Mar 18, 2021 2:01 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata, pakej bantuan terbaru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak mencukupi untuk menghidupkan semula ekonomi negara yang sedang melalui kemelesetan.

Dia mengulas pengumuman program "Pemerkasa" ekonomi RM20 bilion melibatkan suntikan fiskal hanya RM11 bilion.

“Bagaimana dengan suntikan fiskal sekadar RM11 bilion mampu menarik Malaysia keluar daripada kemelesetan ekonomi apabila KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) menguncup sebanyak 5.6 peratuspada 2020,” soalnya.

Lim, yang juga anggota Parlimen Bagan, berkata, pakej ekonomi yang jauh lebih besar sebelum ini tidak berkesan melawan serangan akibat penularan wabak Covid-19.

“Muhyiddin nampaknya telah lupa bahawa pakej ransangan ekonomi Prihatin RM305 bilion dan Belanjawan 2021 RM322.5 bilion pada tahun lepas, serta pakej ransangan Permai RM15 bilion pada Januari tahun ini, telah dilihat sebagai tidak berkesan sama ada untuk mengelakkan kemelesetan ekonomi ataupun penurunan penarafan kredit antarabangsa Malaysia oleh Fitch Ratings.

“Jelas, suntikan fiskal RM11 bilion Pemerkasa tidak mencukupi untuk menghidupkan semula ekonomi apabila apa yang diperlukan ialah pemangkin ekonomi sebesar RM45 bilion,” katanya.

Malah menurut ahli parlimen DAP itu, Perikatan Nasional (PN) juga telah gagal mencapai sasaran ekonominya.

Katanya, kementerian kewangan mengunjurkan kadar pengangguran 2020 untuk meningkat kepada 4.2 peratus, kadar pertumbuhan KDNK menguncup sebanyak 5.5 peratus dan defisit Belanjawan meningkat kepada 6 peratus.

Namun, Lim berkata, pengangguran kini meningkat kepada 4.5 peratus, manakala ekonomi pula menguncup 5.6 peratus sementara defisit Belanjawan berkembang sehingga 6.2 peratus.

“Walaupun terdapat senarai inisiatif-inisiatif kecil, Pemerkasa gagal untuk memberi inspirasi kerana masih berpegang pada paradigma lama iaitu bayaran sekaligus (one-off) dan bukannya bantuan berulang berterusan sehingga tamatnya krisis akibat Covid-19.

“Apa yang sudah terjadi kepada janji PN untuk meningkatkan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 termasuk kepada penganggur, 150,000 buah tablet dan komputer riba untuk para pelajar, pengeluaran KWSP sehingga RM10,000 dan pelanjutan automatik moratorium pembayaran balik pinjaman bank (kecuali T20)?” soal Lim.

Menurutnya, ini diburukkan lagi dengan jumlah denda besar yang dikenakan oleh kerajaan kepada mana-mana rakyat atau individu yang melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Apa gunanya memberi bantuan one-off RM500 kepada individu dan geran one-off RM3,000 kepada perniagaan kecil apabila mereka boleh didenda RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk perniagaan?” soalnya.

“Membantu sedikit dengan tangan kanan dan kemudiannya mengambil lebih banyak dengan tangan kiri tidak dapat membantu meringankan beban kewangan rakya,” katanya.

Pemimpin DAP itu berkata, kerajaan harus segera melaksanakan pakej ransangan ekonomi tambahan sebanyak RM45 bilion untuk membantu para penganggur, mewujudkan pekerjaan baru dan menyelamat pekerjaan sedia ada, memperlahankan penutupan perniagaan, memberi subsidi sewa kepada perniagaan, menangani krisis pendidikan dan menjana sumber baru untuk pertumbuhan masa depan.

Lihat Komen
ADS