Orang Melayu paling ramai hilang MyKad
Orang Melayu paling ramai hilang MyKad berbanding dengan rakyat Malaysia keturunan Cina dan India, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim.
Orang Melayu paling ramai hilang MyKad berbanding dengan rakyat Malaysia keturunan Cina dan India, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim.
Mengikut statistik, Abdul Rahman berkata, orang Melayu mencatatkan kehilangan 51.2 peratus, diikuti dengan Cina (25.9 peratus), India (10.5 peratus) dan lain-lain keturunan (12.4 peratus).
Di segi umur pula, 42.95 peratus daripada kes kehilangan MyKad yang dilaporkan membabitkan mereka yang berumur 19 hingga 29 tahun, 34.76 peratus (30 hingga 55 tahun) dan 18.36 peratus (70 tahun ke atas).
Menuru Abdul Rahman lagi, sebanyak 232,980 MyKad telah dilaporkan hilang dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Menurut Bernama, dalam tempoh lima tahun yang lalu, katanya, kes kehilangan MyKad paling tinggi dicatatkan pada 2002 iaitu 402,566.
Sebanyak 387,733 MyKad dilaporkan hilang pada 2003. Sebanyak 387,733 keping lagi dilaporkan hilang pada 2004 manakala 393,389 pada 2005, katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) mengenai kehilangan MyKad bagi tempoh lima tahun lalu dan statistiknya mengikut kaum, umur dan jantina.
Denda lebih tinggi
"Dari segi jantina, kehilangan kad pengenalan di kalangan lelaki adalah sebanyak 54.16 peratus berbanding wanita," katanya Abdul Rahman.
Bagi mengatasi masalah itu, beliau berkata, kementeriannya memutuskan pada 12 Julai lalu untuk mengenakan bayaran yang lebih tinggi kepada mereka yang kehilangan MyKad.
Bayaran kehilangan pertama telah dinaikkan daripada RM10 kepada RM100, kehilangan kali kedua daripada RM30 kepada RM200 dan kali ketiga daripada RM100 kepada RM300.
"Ini bagi memberi peringatan dan pengajaran kepada pemegang MyKad bahawa ia adalah dokumen peribadi yang sangat penting dan harus dijaga dan diberi perhatian oleh pemegangnya, dijaga elok-elok supaya tidak berlaku kehilangan," katanya.
Semasa menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mengenai caj bagi menukar MyKad kerana kerosakan dan kualitinya tidak bagus, Abdul Rahman berkata, bayaran terpaksa dikenakan kerana perkara itu melibatkan kos.
"Sebenarnya laporan mengenai kad pengenalan yang kurang bermutu ini kita terima tetapi bilangannya adalah kecil. Namun begitu, kerajaan sentiasa meneliti dan memberi perhatian untuk meningkatkan kualiti MyKad dari semasa ke semasa," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.