PAS gesa kjaan jangan abaikan pendidikan kaum Cina
Pemuda PAS mengingatkan kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran supaya memandang serius isu-isu yang berkaitan dengan soal kepentingan pendidikan kaum Cina di negara ini.
Pemuda PAS mengingatkan kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran supaya memandang serius isu-isu yang berkaitan dengan soal kepentingan pendidikan kaum Cina di negara ini.
Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata, antara isu tersebut ialah deklarasi pendidikan bahasa ibunda Dong Jiau Zong 1999, masalah pembinaan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), masalah kekurangan guru terlatih di SJKC.
Selain itu, katanya, ia juga membabitkan masalah pengisian jawatankuasa penolong kanan kokurikulum di SJKC, kursus pengurusan dan kepimpinan SJKC, isu penutupan SJKC Damansara yang telah berlarutan lebih enam tahun dan masalah pengajaran Sains dan Matematik di SJKC.
"Isu-isu di atas menjadi agenda pendidikan yang sangat penting bagi kaum Cina yang telah diabaikan okeh kerajaan. Seminar, forum, dialog dan pelbagai resolusi telah dibuat dan disalurkan kepada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS pusat berkata, PAS sendiri telah melawat SJKC Damansara yang terpaksa menumpang di sebuah tokong sampai hari ini apabila sekolah tersebut ditutup.
Katanya, memorandum mengenainya telah diserahkan kepada Menteri Pelajaran tetapi tiada sebarang reaksi sehingga hari ini.
"Pemuda PAS ingin mempertegaskan bahawa layanan terhadap semua kaum untuk mendapat kualiti pendidikan tidak boleh dipolitikkan hingga tercetus tidak puas hati mana-mana kaum.
"Amalan diskriminasi, jika wujud, adalah sangat memalukan, sepertimana ketidakadilan yang dilakukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR)," tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda PAS menggesa Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya bertindak pantas terhadap kepincangan tersebut.
"Jika beliau tidak berkeupayaan, letak sahaja jawatan, bagi membolehkan Menteri Pelajaran baru yang benar-benar memahami serta menjiwai dunia pendidikan, dapat dilantik," katanya.
Mazlan turut mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Kiat yang secara terbuka mendakwa pegawai kerajaan melesapkan wang peruntukan khas untuk SJKC Kung Yu dan SJKC Ai Hwa di Johor.
Katanya, Pemuda PAS memandang berat dakwaan tersebut kerana ia dibuat oleh seorang timbalan menteri yang juga Naib Presiden MCA.
"Badan Pencegah Rasuah (BPR) mesti menyegerakan siasatan terhadap dakwaan tersebut kerana ia adalah soal integriti dan maruah kerajaan terbabit," tegasnya.

