Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon merasmikan Larian Maya Parlimen 2021 semalam, dengan melakukan gimik larian 1.1km sekitar bangunan Parlimen.
Bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen memberitahu Malaysiakini yang mereka tidak dijemput untuk turut mengambil bahagian dalam acara maya 10 hari berkenaan.
Ahli-ahli Parlimen dari Pasir Gudang (Hassan Abdul Karim), Segambut (Hannah Yeoh), Serdang (Ong Kian Ming) dan Ipoh Timur (Wong Kah Woh) menyatakan demikian ketika ditanya sama ada mereka ada dijemput sama.
Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir membidas Rashid berhubung larian berkenaan dalam satu ciapan di Twitter semalam.
"Harap jumpalah pintu masuk dan bukalah Dewan (Rakyat) untuk ahli-ahli Parlimen bersidang.
"Lari boleh virtual, nak berbahas takut. Bak kata beliau, jangan ketaq lutut kuat sangat!" ciapnya.
Larian maya itu dianjurkan oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) serta Kelab Kebajikan dan Sukan Parlimen Malaysia (Kespa).
Parlimen digantung ekoran darurat yang diisytiharkan pada Januari.
Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang meskipun ketika darurat, tetapi baginda akan bertindak atas nasihat kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata persidangan Parlimen ditangguhkan sehinggalah darurat tamat pada 1 Ogos, supaya kerajaan boleh memberi tumpuan terhadap wabak Covid-19.
Hujah Takiyuddin juga, seramai 100 orang ahli Parlimen tergolong dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi Civid-19 memandangkan sudah berusia.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Pontian dari Umno, Ahmad Maslan berkata, hal itu tidak masuk akal memandangkan seramai 120 ahli Parlimen berusia bawah 60 tahun, sedangkan korum Dewan Rakyat hanyalah 26.
Lagi pula, ahli-ahli Parlimen juga turut sedang divaksin untuk Covid-19, bersama-sama petugas barisan hadapan.
Pengkritik mendakwa kerajaan PN tidak mempunyai majoriti di Dewan Rakyat meskipun sudah menerima tiga sokongan tambahan yang beralih arah daripada PKR.
