MB: Laporan Ketua Audit boleh jejaskan imej Menteri Besar
Dua orang menteri besar Perak dan Negeri Sembilan mempertikaikan laporan Ketua Audit Negara 2005 yang mereka anggap sebagai tidak tepat, mengelirukan dan boleh menyentuh kewibawaan mereka selaku ketua negeri.
Dua orang menteri besar Perak dan Negeri Sembilan mempertikaikan laporan Ketua Audit Negara 2005 yang mereka anggap sebagai tidak tepat, mengelirukan dan boleh menyentuh kewibawaan mereka selaku ketua negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata laporan tersebut berhubung perbelanjaan menaik taraf rumah tetamu sebagai kediaman Menteri Besar bernilai RM4.5 juta yang diambil dari program dana khas bertujuan membantu mereka yang memerlukan, adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Sambil menyifatkan laporan tersebut boleh menyentuh kewibawaannya sebagai menteri besar, Mohamad berkata beliau telah memanggil Pengarah Audit Negeri Sembilan supaya berhubung dengan Ketua Audit negara bagi memperbetulkan kenyataan tersebut.
"Saya harap selidik perkara ini dan kalau boleh dibuatkan satu kenyataan mengatakan bahawa laporan itu tidak betul. Saya tak perlu berhubung dengan audit negara kerana rekod kita semua betul.
"Saya tak tahu di mana Ketua Audit negara Mendapat laporan tersebut atau boleh keluar laporan begitu rupa sebab kita ada pelbagai tabung amanah dan akaun berasingan seperti yang saya umum semalam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.
Menurut laporan Bernama, Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa peruntukan membaikpulih dan menaiktaraf rumah tetamu menjadi kediaman rasminya itu diberikan oleh Kementerian Kewangan secara waran khas yang tidak membabitkan dana lain termasuk dana khas yang dimaksudkan laporan itu.
Laporan BPR
Semalam, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan dari DAP, Loke Siew Fook membuat laporan lisan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri Sembilan berhubung kos pengubahsuaian rumah rasmi Mohamad yang bernilai RM4.5 juta.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali ketika mengulas laporan Ketua Audit Negara itu menegaskan kerajaan negeri tidak mengalami sebarang kerugian apabila 155 projek di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) yang dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) gagal dilaksanakan di Perak.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, ini kerana 116 daripada 155 projek yang dikatakan gagal dilaksanakan itu, sebenarnya tidak diberikan sebarang peruntukan walaupun RM10.
"Saya pun hairan bagaimana mereka (laporan audit) boleh mengemukakan laporan kerajaan negeri tidak melaksanakan projek dan membazirkan wang kerajaan pusat kerana kami tidak diberi wang untuk melakukannya walaupun pun ada disebut projek itu," katanya kepada pemberita di Ipoh.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dalam laporannya memberi contoh Kedah dan Perak sebagai antara negeri yang gagal memanfaatkan peruntukan dan menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan mengikut RMK8.
Ambrin berkata daripada 159 projek yang belum dimulakan di Perak, 155 daripadanya terletak dalam bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR).
MB: Laporan tidak tepat
Tajol Rosli berkata, beliau tidak tahu pihak mana yang mengemukakan laporan tidak tepat itu kepada Ketua Audit Negara tetapi ia telah memberi gambaran kurang elok mengenai kerajaan negeri dan JKR Perak.
Katanya, gambaran yang diberikan berdasarkan laporan itu memburukkan kerajaan negeri dan JKR Perak sedangkan ia tidak membabitkan kerugian kerana tiada langsung peruntukan diberikan.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Perbendaharaan sudah menyerahkan peruntukan itu kepada kementerian berkenaan tetapi ia tidak disalurkan kepada kerajaan negeri.
"Kami juga hendak tahu ke mana wang itu pergi," katanya.
Mengenai projek terbabit, Tajol Rosli berkata projek yang tidak menerima peruntukan itu terdiri daripada 109 projek bangunan dan tujuh projek pembinaan jalan.
Selebihnya, iaitu 39 projek yang menerima peruntukan kira-kira RM1 juta, 11 projek membabitkan bayaran bagi pengambilan tanah manakala 28 projek lagi masih dalam proses reka bentuk iaitu 25 projek jalan dan tiga projek bangunan.
"Sebenarnya, jika mereka (kerajaan pusat) meletakkan peruntukan RM10 bagi setiap projek, kita boleh membuat permohonan tambahan peruntukan tetapi jika tidak diletakkan langsung jumlah wangnya, bagaimana kerajaan negeri mahu melaksanakan," katanya.
Ketua audit perlu perjelas
Dalam perkembangan lain, Tajol Rosli turut meminta kerajaan persekutuan membatalkan cadangan projek pembinaan landasan kereta api berkembar Padang Rengas-Changkat Jering bernilai RM795 juta seperti yang diumumkan dalam RMK9 dan digantikan dengan projek alternatif lain dengan peruntukan sama.
Katanya projek itu boleh dianggap sebagai pembaziran kerana pembinaan landasan kereta api berkembar tidak pula dilakukan bagi laluan Ipoh-Padang Rengas dan Changkat Jering-Butterworth.
Sementara itu, Loke dalam kenyataan hari ini berkata respons Menteri Besar Negeri Sembilan terhadap laporannya semalam telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Dengan itu, DAP sedang menimbangkan untuk menghantar satu memorandum kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Parlimen (PAC) secepat mungkin bagi menggesa PAC menjalankan penyiasatan terperinci terhadap perkara itu.
Loke juga menggesa Ketua Audit Negara membuat kenyataan bagi menyangkal isu ketidaktepatan laporan Ketua Audit seperti didakwa Mohamad kerana kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan kewibawaan institusi Ketua Audit Negara.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.