Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed hari ini memohon maaf di atas keterlanjuran Timbalannya, Datuk Ong Tee Keat yang mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menyinggung perasaan para pegawai Kementerian Pelajaran.

Dalam satu kenyataan tiga perenggan yang difakskan kepada Bernama, Mustapa memberi jaminan kepada Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa perkara seperti ini tidak akan berlaku pada masa depan.

Beliau turut memohon maaf jika kenyataan mengenai perkara itu menyinggung perasaan para pegawai Kementerian Pelajaran.

Sabtu lalu, Ong, juga Naib Presiden MCA secara terbuka membuat tuduhan kononnya para pegawai kerajaan melesapkan wang peruntukan khas untuk beberapa buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) di Johor.

Mustapa berkata perkara ini telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang memutuskan adalah tidak wajar seorang anggota pentadbiran membuat kritikan terbuka terhadap kementerian lain.

"Sekiranya ada isu tertentu yang hendak dibangkitkan, ia hendaklah dikemukakan terus kepada menteri berkenaan.

"Dalam kes ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sepatutnya memaklumkan perkara ini kepada Menteri Pelajaran untuk mendapatkan keterangan lanjut tentang perkara yang dibangkitkan," kata Mustapa.

Mustapa berkata, sejak menjadi Menteri Pengajian Tinggi, beliau telah cuba untuk mewujudkan hubungan baik antara Kementerian Pelajaran dan Kementeriannya kerana bidang tugas kedua-dua kementerian ini menurut beliau "saling lengkap melengkapi."

"Beberapa isu dan masalah telah kita tangani bersama dengan jayanya dan saya harap kenyataan Timbalan Pengajian Tinggi itu tidak akan menjejas kerjasama rapat yang terjalin antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran," katanya.