Seorang penyokong Barisan Nasional Datuk Zaid Ibrahim (BN-Kota Bharu) meminta kerajaan supaya menyemak semula krisis kehakiman pada 1988 sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak harus takut untuk membetulkan 'kesilapan yang lalu'.

Berucap membahaskan Bajet 2006 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, Tun Salleh Abbas kini sudah berusia 77 tahun dan menegaskan bahawa "negara dan kita semula berdosa terhadapnya".

Katanya, Salleh tidak pecat kerana mengutus surat kepada Seri Paduka tetapi kerana ucapan yang disampaikannya di Universiti Malaya.

"Ianya kerana beliau mahu panel sembilan orang hakim dilantik untuk mendengar kes Umno," tambahnya.

Zaid yang memiliki salah sebuah firma guaman terbesar di negara ini, merujuk kepada pemecatan bekas Ketua Hakim Negara itu pada 1988.

"Keluarga hakim (yang dipecat secara tidak adil) masih hidup, mereka tidak meminta hakim ini dilantik semula atau pencen yang lebih, apa yang mereka minta ia supaya nama hakim-hakim tersebut dibersihkan, adalah ia sesuatu yang terlalu sukar?" tanya Zaid.

Pada 1988, sebuah tribunal khas dibentuk sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membicarakan Salleh atas tuduhan salahlaku kerana mempersoalkan pindaan perlembagaan yang telah menghakis kuasa badan kehakiman.

Dua daripada lima hakim Mahkamah Agung Datuk George Seah dan Wan Sulaiman yang memutuskan bahawa penubuhan tribunal itu tidak mengikut perlembagaan, turut dipecat bersama Salleh, selepas didapati bersalah atas tuduhan salahlaku, oleh tribunal itu yang dianggotai oleh enam orang hakim, termasuk masing-masing seorang dari Singapura dan Sri Lanka.

Ada pihak yang menyifatkan pemecatan hakim-hakim Mahkamah Agung itu yang ketika itu merupakan mahkamah tertinggi di negara ini, dan kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan sebagai zaman gelap dalam sejarah kehakiman negara.

Tiga minggu lalu, Salleh bersuara menyokong gesaan Majlis Peguam supaya disemak semula krisis kehakiman 1988. Gesaan itu turut disokong oleh pertubuhan-pertubuhan lain.

Nazri dibidas

Mengulas lanjut, Zaid berkata, kerajaan tidak harus takut untuk menyemak semula krisis tersebut jika ia bermatlamat untuk menjadi sebuah negara Islam yang maju, sambil berkata "mengapa kita harus takut mengakui kesilapan yang lalu?".

Beliau juga membidas Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, yang menolak gesaan tersebut, sambil berkata "begitu mudah bagi beliau menolak cadangan tersebut".

Sambil menegaskan perlunya krisis tersebut disemak semula, Zaid berkata, ianya mustahak kerana ia akan dapat memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.

"Kita tahu hakim di negara kita boleh disingkirkan dengan mudah mengikut Artikel 123 dan 125 Perlembagaan Persekutuan kerana salahlaku, bagaimanakah kita hendak memberi kepercayaan kepada hakim (untuk menjalankan tugas mereka) jika undang-undang begitu longgar?" soalnya.

Di England, katanya, tindakan terhadap hakim mesti disahkan oleh House of Common dan House of Lords.

Di Malaysia, katanya, hakim boleh disingkirkan dengan mudah sedang kakitangan awam pun hanya boleh dipecat jika selepas didapati bersalah melakukan kesalahan jenayah.

Beliau mencadangkan supaya dipinda Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan berhubung tindakan terhadap para hakim dan berharap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail akan menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meminta artikel yang berkaitan.

"Kita mesti memulihkan kepercayaan terhadap bidang kehakiman dan memberi kuasa kepada hakim kita bertindak secara adil. Suatu hari nanti, kita semua juga mungkin terpaksa dibicarakan di mahkamah bila kita menjadi mangsa atau dipecat," tambahnya. Berita asal