Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Takiyuddin: Tiada keperluan tubuh RCI siasat dakwaan IGP isu 'kartel' polis

Kerajaan menyifatkan tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan wujudnya gerakan sulit bagi menjatuhkan ketua polis negara.

Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu akan diselesaikan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) sepertimana dimaklumkan oleh menteri dalam negeri (KDN).

"Saya rasa tidak timbul masalah berkenaan sebagaimana disebut menteri dalam negeri. Itu masalah dalaman yang hanya perlu dikendalikan oleh SPP. SPP ini dipengerusikan menteri KDN dan ketua polis negara pun ahlinya.

"Bagi saya tiada masalah besar pun untuk menyelesaikan perkara ini. Serah saja kepada SPP," katanya pada sidang media selepas program Malaysia Prihatin sesi bersama pegawai kerajaan negeri Kelantan dan persekutuan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebelum ini mendedahkan sekelompok pegawai dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba mencaturkan keadaan dan mencemar imejnya dengan tujuan menjatuhkannya.

Dakwanya, gerakan sulit itu akan ditangani dengan wajar sebelum menjadi lebih parah kerana kumpulan itu mahu menguasai semua jawatan utama dalam PDRM demi kepentingan peribadi.

Susulan itu, Badan Peguam Malaysia berkata RCI sangat diperlukan untuk menyiasat dakwaan Abdul Hamid bahawa ada kartel dalam pasukan polis yang bersekongkol mahu menyingkirkannya.

"Tuduhan seperti itu mengejutkan dan sangat mengikis kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Oleh itu, Badan Peguam Malaysia menggesa siasatan segera berhubung kenyataan ketua polis negara melalui penubuhan RCI bebas untuk menangani isu ini.

"Siasatan yang telus dan bebas harus dilancarkan tanpa berlengah-lengah untuk menentukan kebenaran dakwaan yang membimbangkan, dan memastikan integriti pdrm terpelihara," kata Presiden Badan Peguam Malaysia, AG Kalidas dalam satu kenyataan, semalam. 

Bagaimanapun Menteri KDN, Hamzah Zainudin sebelum ini dilaporkan berkata Abdul Hamid boleh mengemukakan laporan kepada SPP agar perkara itu disiasat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS