Kerajaan melarang orang awam dan pihak media daripada membangkitkan isu-isu sensitif dan bukannya dialog antara agama, kata Perdama Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Dalam jawapan bertulisnya kepada Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Abdullah berkata, larangan itu bertujuan untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, keputusan itu diambil selepas pihak-pihak tertentu membangkitkan isu-isu sensitif terutama yang berkaitan dengan agama, yang mengakibatkan tercetusnya kontroversi dan rasa tidak senang di kalangan rakyat perlbagai agama.

Katanya, tindakan membangkitkan isu sensitif dilarang tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai melarang rakyat terbabit dalam dialog antara agama, yang digalakkan di semua peringkat.

Dalam laporan Bernama, Lim bertanya mengapa kerajaan menggalakkan kebebasan beragama dan dialog antara agama di peringkat antarabangsa tetapi melarangkan rakyat, termasuk memberi amaran kepada pihak media, daripada menyentuh isu-isu agama.

Abdullah berkata, beliau selalu menekankan pentingnya semangat permuafakatan antara rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama, dan beliau sendiri selalu mengadakan dialog dengan pelbagai kumpulan agama dari masa ke semasa.

Pelbagai saluran

Perdana Menteri berkata, dalam aspek meningkatkan kefahaman agama di negara ini, ramai rakyat Malaysia yang bersedia mengambil dayausahaq untuk mengadakan dialog antara agama dari masa ke semasa di pelbagai peringkat.

Katanya, terdapat pelbagai saluran bagi masyarakat pelbagai agama berbincang dan bertukar-tukar pandangan.

Oleh itu, katanya, usaha untuk menganjurkan dialog seumpama itu akan terus digalakkan dan kerajaan akan menggalakkan ulama Islam dari Jakim dan Ikim untuk turut serta.

Katanya, selain jawatankuasa agama di bawah Panel Penasihat mengenai Perpaduan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional juga akan mengadakan dialog antara agama bagi meningkatkan keharmonian antara rakyat.,

Isu-isu yang difokuskan dalam dialog tersebut termasuklah masalah sosial seperti pencegahan jenayah dan penyalahgunaan dadah, yang memerlukan kerjasama rakyat pelbagai agama, katanya.

Kerajaan mengeluarkan larangan tersebut selepas tercetusnya bantahan keras daripada masyarakat Islam terhadap Gabungan Artikel 11 gabungan 13 kumpulan aktivis dengan misi untuk mempertahankan hak perlembagaan semua rakyat.

Bagaimanapun, badan-badan Islam mengecamkan gabungan tersebut kerana menyentuh perkara-perkara sensitif seperti isu murtad dalam Islam.