Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kronologi kemalangan di tapak binaan lebuh raya sejak 2018
Diterbitkan:  Mar 22, 2021 7:00 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Berikut adalah kronologi insiden yang pernah berlaku dalam negara membabitkan tapak pembinaan sejak 2018.

25 Jan 2018

Kejadian runtuhan bongkah batu besar dari tapak projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (Suke) yang terletak di atas Taman Bukit Saga, Ampang jatuh secara tiba-tiba ketika kerja pembinaan dilakukan. Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

26 Feb 2018

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang (ProLintas) mengesahkan kejadian kren tumbang di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Ulu Klang-Ampang berpunca daripada ketidakstabilan permukaan tanah yang menempatkan kren berkenaan. Tiada sebarang kecederaan dan kerosakan harta awam dilaporkan.

8 Mac 2019

Dua pekerja cedera apabila rasuk konkrit di tapak projek pembinaan Suke di persimpangan Taman Kosas, Ampang, terjatuh.

16 Ogos 2019

Tiga pekerja kontrak warga China cedera selepas kerangka besi cerucuk terjatuh ke atas mereka dalam satu kejadian di tapak pembinaan Suke dekat Taman Connaught, Cheras.

Dalam insiden itu, seorang lelaki patah kaki kanan, seorang patah tangan kiri manakala seorang lagi cedera ringan.

19 Sept 2020

Seorang wanita nyaris maut selepas kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan Suke terjatuh dan menghempap kereta yang sedang dipandunya di MRR2.

3 Mac 2021

Seorang pemandu treler melanggar perancah besi pembinaan Suke menyebabkan dua maut manakala tiga lagi cedera parah setelah van dinaiki mereka dihempap sebahagian struktur binaan jejambat yang runtuh dalam kejadian di Desa Tun Razak.

22 Mac 2021

Tiga individu maut dalam kejadian struktur besi kren launcher terjatuh di tapak pembinaan Suke berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, kejadian itu membabitkan enam mangsa dengan tiga daripada mereka merupakan pekerja projek pembinaan tersebut.

ProLintas yang merupakan pemegang konsesi lebuh raya berkenaan memaklumkan kejadian berlaku apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh.

- Bernama

Lihat Komen
ADS