mk-logo
Berita
Kren jatuh: JKPP siasat jika ada pelanggaran undang-undang
Diterbitkan:  Mar 22, 2021 9:08 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang menyiasat sekiranya wujud perlanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dalam insiden komponen besi kren terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Puncak Bayan, Persiaran Alam Damai, Cheras hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata kementerian itu telah mengarahkan JKKP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk menjalankan siasatan komprehensif bagi mengenal pasti punca insiden tersebut.

JKKP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya juga telah mengeluarkan arahan serta-merta untuk menghentikan semua aktiviti kerja di kawasan tersebut bagi tujuan siasatan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi itu, tiga pekerja warga asing maut sementara seorang pemandu kenderaan cedera setelah komponen kren ‘launcher’ terjatuh serta menghempap sebuah kenderaan di kawasan pembinaan tersebut.

Awang berkata kementerian itu memandang serius setiap kemalangan berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuk kes yang melibatkan orang awam di sektor pembinaan.

Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam di tempat kerja di bawah kawalannya.

"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang risiko aktiviti di tempat kerja, membuat analisis dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja. Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya.

Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 pula mengkehendaki setiap pihak berkepentingan dalam industri pembinaan termasuk klien, pereka bentuk dan kontraktor memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di tempat kerja seawal daripada peringkat reka bentuk projek pembinaan, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS