Ridzuan: Realiti politik di Kepong berpihak kepada MCA
Desakan Umno Bahagian Kepong supaya Gerakan menyerahkan kerusi Parlimen kawasan tersebut kepada MCA adalah dibuat berdasarkan kepada realiti politik semasa di situ yang lebih memilih kepada MCA, kata Ketuanya Datuk Ridzuan Abdul Hamid.
Desakan Umno Bahagian Kepong supaya Gerakan menyerahkan kerusi Parlimen kawasan tersebut kepada MCA adalah dibuat berdasarkan kepada realiti politik semasa di situ yang lebih memilih kepada MCA, kata Ketuanya Datuk Ridzuan Abdul Hamid.
Katanya, peluang bagi BN merampas kerusi Parlimen Kepong daripada DAP adalah tipis selagi calon Gerakan diletakkan bertanding mewakili BN di situ.
Bagaimanapun, katanya, Umno bahagian Kepong akan patuh kepada sebarang keputusan pucuk pimpinan BN berhubung peruntukan kerusi tersebut.
Katanya, calon Gerakan telah bertanding di kawasan Parlimen tersebut sebanyak lapan kali sejak 1974 dan parti itu cuma menang sekali melalui bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Kerk Choo Teng dalam pilihanraya umum 1982.
"Kini sudah sampai masanya untuk berubah...kerusi Parlimen Kepong perlu diberikan kepada MCA kerana Gerakan tidak mempunyai pengaruh lagi di Kepong.
"Ahli mereka (Gerakan) cuma 3,000 orang dan parti itu tidak mempunyai sokongan kuat di peringkat akar umbi. Dalam menghadapi pilihanraya umum, Gerakan terpaksa membawa pekerja dari luar terutama dari Seputeh," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pilihanraya umum lalu, Gerakan kalah tipis iaitu sekitar 1,800 undi kepada calon DAP, Dr Tan Seng Giaw.
Menurutnya, jika perubahan ini tidak dibuat sampai bila-bila, kerusi Parlimen Kepong akan kekal di tangan pembangkang kerana Gerakan tidak berupaya memenangi kerusi tersebut.
Ridzuan berkata, MCA mempunyai kira-kira 15,000 ahli dan mendapat sokongan masyarakat setempat kerana parti itu melaksanakan pelbagai projek kemasyarakatan.
Hubungan baik
Umno Bahagian Kepong pula, katanya, mempunyai 3,000 ahli serta mempunyai hubungan baik dengan Gerakan dan MCA.
Berikutan itu, katanya amat sukar untuk Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Parlimen Kepong dari DAP kerana kelonggaran struktur Gerakan itu sendiri.
Ridzuan yang juga Setiausaha BN Wilayah Persekutuan berkata, Umno bahagian Kepong sebelum ini telah meminta Pengerusi BN, Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Perdana Menteri menyerahkan kerusi parlimen Kepong kepada MCA, tetapi gagal.
"Perkara yang sama telah diajukan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pilihanraya umum 1999 tetapi jawapan yang diberi pembahagian kerusi tidak boleh diubah lagi," katanya lagi.
Ridzuan berkata, daripada maklum balas yang diterima oleh Umno bahagian Kepong mengenai trend pengundian di kawasan parlimen itu, didapati masyarakat setempat lebih gemar kepada MCA berbanding Gerakan.
Ini mungkin, katanya berdasarkan kedudukan MCA yang lebih kuat dan pelbagai program kemasyarakatan yang dibuat oleh parti itu kepada penduduk Kepong.
Ridzuan menambah, Umno bahagian Kepong akan tetap mencari jalan supaya calon MCA bertanding di parlimen berkenaan dalam pilihanraya umum akan datang.

