Pihak polis telah menghentikan majlis pelancaran buku Sejarah Perjuangan Parti Buruh Malaya (PBM) Ahad lalu di Sun Complex, Kuala Lumpur, dakwa seorang bekas ahli parti itu.

Menurut Lee Ban Chen, penasihat Jawatankuasa Kerja Sejarah Parti (Party History Working Committee) PBM, polis yang dikatakan daripada cawangan khas telah mengarahkan majlis tersebut dihentikan kerana "tidak mempunyai permit".

"Saya tidak faham mengapa polis menghalang majlis itu," sambung beliau, mempersoalkan rasional polis itu.

Sebelum ini jawatankuasa tersebut telah merancang untuk menganjurkan pelancaran buku dalam versi bahasa Cina itu di Tokong Thean Hou Kuala Lumpur. Bagaimanapun pihak jawatankuasa tokong telah menolak permohonan tersebut.

"Kita telah memohon permit dua kali, tetapi telah ditolak," ujar Lee terhadap permintaan bagi menganjurkan majlis di tokong terkenal tersebut.

Lee menjelaskan pihak jawatankuasa terpaksa mengubah tempat majlis tersebut kepada sebuah restoran Cina di Jalan Bukit Bintang.

Tambah beliau majlis itu hanya sempat mengundang tiga orang penceramah iaitu pengerusi jawatankuasa Tan Kai Hee, Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali dan wakil Pusat Penyelidikan Huazi Kuala Lumpur Lee Yip Lim sebelum polis mengarahkan supaya majlis itu dihentikan.

Lee bersama tiga orang penceramah iaitu Prof Dr Hara Fujio dari Nanzan University, Nagoya, Jepun, CC Chin, National University of Australia dan Chan Eng Seng, Rejang Press , Sarawak turut dijadualkan memberi ucapan dalam majlis itu.

Pihak jawatankuasa bagaimanapun akur dengan arahan polis untuk tidak meneruskan majlis yang dihadiri seramai seribu orang bekas ahli parti tersebut, ulas Lee.

Katanya lagi pihak jawatankuasa telah berjaya menjual hampir 2,000 naskah buku hasil sumbangan orang ramai sebelum dan semasa majlis itu berlangsung.

Buku yang menceritakan sejarah perjuangan Parti Buruh Malaya sejak penubuhan parti tersebut pada 1952 sehingga pembubarannya pada 1972 dijual dengan harga RM40 senaskah.