Effendi Norwawi diberi 14 hari jawab ingkar perintah mahkamah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi diberi tempoh 14 hari mulai semalam untuk menyediakan jawapan berhubung keingkarannya melaksanakan perintah mahkamah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi diberi tempoh 14 hari mulai semalam untuk menyediakan jawapan berhubung keingkarannya melaksanakan perintah mahkamah.
Perintah itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menolak permohonan Effendi untuk menggantung pendengaran kes penyerahan harta berjumlah lebih RM50 juta kepada bekas isterinya Zariah Hashim @ Farida Effendi.
Hakim Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid berkata, Effendi diberi tempoh 14 hari mulai semalam dan beliau akan membuat keputusan pada 18 Oktober depan.
Sebelum itu, Peguam Syarie Kamar Ainiah Kamaruzzaman yang mewakili Effendi memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan untuk membatalkan notis waran tangkap terhadap Effendi (kerana ingkar dengan perintah mahkamah) pada 8 Ogos lalu dan dia memohon agar kes pembahagian harta didengar selepas kes itu selesai.
Pertikaian mengenai penyerahan harta sepencarian, yang telah dipersetujui bersama sebelum penceraian itu berlaku, telah berlanjutan sejak pertengahan tahun lalu.
Mengikut perjanjian persetujuan perceraian yang ditandatangani pada 28 Januari 2005, Effendi, 58, bersetuju untuk menyerahkan hartanah di Sarawak dan Semenanjung yang bebas dari sebarang bebanan.
Turut dipersetujui ialah 100 peratus saham Syarikat Encorp Utility Sdn Bhd, nafkah edah serta mutaah sebanyak RM50,000 dan tiga buah rumah termasuk sebuah di London.
Pembahagian harta
Perjanjian yang telah dipersetujui kedua-dua belah pihak itu telah dijadikan perintah pada 21 Jun 2005 oleh Ketua Hakim Syarie, Hussin Ahamad.
Terdahulu, peguam syarie Dr Mohd Rafie Shafie yang mewakili Farida, 55, berkata kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian berhubung pembahagian harta itu walaupun telah diberi peluang supaya menyelesaikannya secara baik.
Katanya, Effendi tidak menunjukkan kesungguhan dalam menyelesaikan pertikaian tersebut dan dia juga tidak pernah hadir sepanjang kes itu berjalan.
"Saya memohon satu penegasan dari mahkamah supaya responden (Effendi) menghormati mahkamah dan hadir untuk menjawab berhubung permohonan pemohon dan tidak ada undang-undang yang memperuntukkan bahawa menteri diberi kelonggaran untuk tidak hadir ke mahkamah," katanya.
Bagaimanapun Kamar Ainiah menolak dakwaan Mohd Rafie bahawa Effendi, 58, tidak bersungguh-sungguh kerana anak guamnya telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pihak Farida tetapi tidak mencapai persetujuan bersama.
"Saya menghadiri perbincangan dengan pihak Farida tetapi setakat ini perjanjian dan perundingan itu menghadapi jalan buntu, ia bukannya gagal. Ini kerana tawaran responden (Effendi) tidak dipersetujui plaintif (Farida) di saat-saat akhir selepas draf disediakan.
"Perbezaan jumlah penyelesaian sangat jauh dan di situlah keadaannya sekarang," katanya.
Mohd Rafie berkata anak guamnya tidak bersetuju dalam perbincangan secara sulh itu kerana pihak Effendi telah memasukkan perjanjian baru dalam perjanjian yang telahpun dipersetujui sebelum ini.
Sementara itu, mengenai permohonan Kamar Ainiah untuk membatalkan waran tangkap ke atas Effendi, Mohamad Shakir berkata permohonan itu boleh dijadikan sebahagian daripada afidavit jawapan Effendi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.