Isu Melayu Pulau Pinang akhirnya terdiam
Hiruk-pikuk suara berhubung isu Melayu Pulau Pinang yang dikatakan terpinggir akhirnya "terdiam" apabila Ketua Menterinya Tan Sri Koh Tsu Koon tidak mahu lagi membicarakannya menerusi media.
Hiruk-pikuk suara berhubung isu Melayu Pulau Pinang yang dikatakan terpinggir akhirnya "terdiam" apabila Ketua Menterinya Tan Sri Koh Tsu Koon tidak mahu lagi membicarakannya menerusi media.
"Saya tidak mahu lagi menggunakan media untuk memberi sebarang reaksi terhadap apa jua dakwaan berhubung isu itu," katanya baru-baru ini.
Kenyataan Koh itu dibuat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan beliau supaya menyelesaikan semua isu berkaitan nasib orang Melayu yang menurut pemimpin-pemimpin Umno negeri terpinggir daripada arus pembangunan negeri.
Menurut laporan Bernama, ia juga dibuat susulan daripada saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar jawatan Timbalan Ketua Menteri (yang diperuntukkan kepada Umno) diperkasakan agar program pembangunan untuk orang Melayu menjadi lebih berkesan.
Sebelum Koh mengambil keputusan itu iklim politik Pulau Pinang ternyata begitu hangat sekali dengan kedua-dua pihak iaitu Gerakan yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri dan Umno saling melempar tuduhan atau mengkritik antara satu sama lain.
Pada satu ketika Koh mahu Pemuda Umno mengadakan pertemuan dengan Pemuda Gerakan kerana Pemuda Umno dikatakan telah menyinggung perasaannya dengan menaikkan kain rentang yang mengkritik beliau di hadapan Abdullah ketika Perdana Menteri merasmikan bangunan Umno Tanjong minggu lepas.
Sebagai reaksi, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Timbalan Presiden Gerakan itu tidak seharusnya meletakkan sebarang syarat untuk berbincang dengan Pemuda Umno.
Guna saluran BN
Bagaimanapun, selepas campur tangan Abdullah dan Najib, Koh dan Hishammuddin akhirnya mengambil keputusan tidak akan menggunakan media, tetapi sebaliknya menggunakan saluran dalaman Barisan Nasional bagi membincangkan isu itu.
Isu Melayu Pulau Pinang pada mulanya dibangkitkan oleh Pemuda Umno negeri yang mendesak agar jawatan ketua menteri digilirkan dalam kalangan parti-parti komponen BN agar pemimpin Umno juga berpeluang menyandang jawatan itu.
Desakan itu segera berkubur apabila Abdullah menjelaskan bahawa ia tidak relevan dan tidak akan dilaksanakan, manakala Najib pula berkata jawatan itu tidak akan digilirkan bagi menjaga keharmonian parti dan keharmonian kaum.
Daripada isu itu ia beralih pula kepada isu masyarakat Melayu yang terpinggir dalam arus pembangunan kerana kononnya tidak mendapat pembelaan kerajaan negeri.
Ketua Umno Bahagian Tanjong Datuk Ahmad Ibni Hajar mendakwa Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang dipengerusikan oleh Koh tidak memberi perhatian kepada orang Melayu dalam merencanakan pembangunan negeri.
Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam Datuk Musa Sheikh Fadzir pula mendakwa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) yang juga dipengerusikan oleh Koh tidak memberi perhatian kepada pekerja Melayu dengan semua jawatan pentingnya dipegang oleh kaum lain.
Sebagai reaksi, Koh mengumumkan kerajaan negeri telah menubuhkan dua buah jawatankuasa untuk mengatasi masalah itu iaitu Jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Jawatankuasa Pembangunan Tanjong.
Disambut dingin
Jawatankuasa Pembangunan Tanah yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Abdul Rashid Abdullah adalah bagi mengenal pasti tanah-tanah yang boleh dimajukan untuk orang Melayu, manakala Jawatankuasa Pembangunan Tanjong dipengerusikan oleh anggota Exco Teng Chang Yeow bagi memastikan pembangunan di bandar Georgetown dinikmati secara adil oleh semua kaum.
Langkah itu disambut dingin Ketua Pemuda Umno negeri, Salim Bari yang berpendapat apa yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan negeri ialah menyediakan satu pelan induk untuk orang Melayu dan memperbaiki apa-apa kelemahan di dalam jawatankuasa kerajaan negeri yang sedia ada.
Pulau Pinang terbahagi kepada lima daerah iaitu dua di sebelah pulau dan tiga lagi di tanah besar Semenanjung.
Mengikut bancian terbaru, daripada jumlah penduduk Pulau Pinang, 635,500 orang berketurunan Cina dan 612,300 orang berketurunan Melayu, manakala selebihnya terdiri daripada kaum bumiputera bukan Melayu, India dan bangsa lain, selain daripada 91,200 orang bukan warganegara.
Ketika menimbulkan isu itu, Umno negeri membuat perbandingan jurang ekonomi antara masyarakat Melayu dan Cina yang begitu luas, walaupun Koh menjelaskan Pulau Pinang mencatatkan kadar kemiskinan yang terendah di negara ini dengan hanya kira-kira 100 keluarga, kebanyakannya Melayu ditakrifkan sebagai miskin tegar.
Ahmad mendakwa hanya 18.2 peratus penduduk Melayu Pulau Pinang mampu memiliki rumah teres, 20.7 peratus memiliki rumah berkembar dan 4 peratus kondominium, berbanding masing-masing 81.9 peratus, 79.3 peratus dan 96 peratus yang dimiliki oleh kaum Cina.
Purata harga rumah teres di sebelah pulau ialah antara RM300,000 dan RM1 juta.
Bagi rumah pangsa pula hanya 16.6 peratus dimiliki Melayu manakala selebihnya dimiliki kaum Cina atau kaum-kaum lain.
Sektor industri
Musa pula mendakwa mendakwa secara purata orang Melayu Pulau Pinang tidak memegang jawatan yang tinggi, bukan kerana tidak mempunyai kelayakan tetapi tidak diberi peluang.
Katanya di sektor perhotelan hanya 2.4 peratus pekerja peringkat pengurusan terdiri daripada orang Melayu, berbanding 6.3 peratus orang Cina, manakala di sektor perindustrian elektronik hanya 1.8 peratus pekerja peringkat pengurusan terdiri daripada orang Melayu, berbanding 28.2 peratus orang Cina.
"Di sektor perkilangan tiada seorangpun orang
Melayu dilantik sebagai akauntan atau pengurus belian. Dalam keadaan demikian tentulah tidak akan wujud rangkaian untuk membantu peniaga Melayu mendapat kontrak bekalan daripada sektor perkilangan," kata Musa.
Atas alasan itulah maka Abdullah dalam ucapannya di sini baru-baru ini menggesa agar fungsi dan dasar agensi-agensi kerajaan pusat dan negeri yang berkaitan dengan usaha membantu masyarakat Melayu dikaji semula.
Ketua Wanita Umno negeri Datuk Jahara Abdul Hamid berkata agensi-agensi kerajaan seperti Mara, UDA dan Perda harus mengambil langkah proaktif untuk membantu orang Melayu.
Katanya agensi-agensi berkenaan jangan hanya memberi tumpuan ke kawasan luar bandar tetapi hendaklah juga "masuk ke bandar" untuk membantu orang Melayu kerana pusat perniagaan adalah di bandar.

