Scomi: Kami perolehi kontrak kerajan secara adil
Scomi menafikan bahawa ia mendapat projek-projek kerajaan melalui pengaruh salah seorang pemegang saham terbesarnya anak lelaki Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Scomi menafikan bahawa ia mendapat projek-projek kerajaan melalui pengaruh salah seorang pemegang saham terbesarnya anak lelaki Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Anak Abdullah, Kamaludin, memiliki kira-kira 17.2 peratus kepentingan dalam Scomi.
Ketua Eksekutif Kumpulan Scomi, Shah Hakim Zain berkata, syarikat tersebut yang perniagaan utamanya membabitkan penggerudian perlu bersaing untuk mendapatkan projek-projeknya.
Scomi tidak berjaya dalam semua tender projek yang disertanya kerana syarikat yang membuat tawaran terendah yang terpilih, kata Shah dalam taklimat mengenai Pusat Penyelidikan dan Teknologi Global Scomi semalam.
.
Sebelum ini, Abdullah yang didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai mengamalkan pilih kasih, berkata, beliau bersedia memohon maaf kepada rakyat Malaysia sekiranya anaknya, Kamaluddin mendapat perniagaan kerana kedudukannya sebagai anak Perdana Menteri.
Abdullah juga meminta laporan mengenai akvitivi Scomi selepas timbul dakwaan bahawa syarikat tersebut menerima projek-projek kerajaan dan minggu lalu Perdana Menteri berkata Scomi tidak mendapat layanan istimewa dari kerajaan.
Shah juga berkata, Kamaluddin tidak terbabit dalam pengurusan harian Scomi yang mencatatkan keuntungan bersih RM172.9 tahun lalu.
Beliau juga menegaskan bahawa Kamaluddin juga bukan merupakan liabiliti kepada perniagaan syarikat tersebut.
Reda spekulasi
Dalam usaha untuk meredakan dakwaan berhubung kedudukan perniagaan Scomi, Shah turut memberi maklumat yang menurutnya terdapat dalam laporan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri.
Scomi yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2003 mempunyai modal di pasaran sebanyak RM1bilion.
Kumpulan syarikat itu mempunyai 4,000 kakitangan di seluruh dunia dan 1,000 daripadanya adalah di Malaysia. Ia beroperasi di 35 negara.
Menurut Shah, pendapatan Scomi bagi 2006 adalah sekitar RM400 juta.
Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan bahawa kontrak- kontrak kerajaan termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) yang diperoleh Kumpulan Scomi Bhd. (Scomi) adalah kecil.
Bagi separuh pertama tahun ini, kontrak- kontrak tersebut berjumlah RM3.3 juta, mewakili hanya 0.5 peratus daripada keseluruhan kontrak yang diperoleh kumpulan sebanyak RM675.4 juta, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shah Hakim Zain.
Bagaimanapun, ia tidak termasuk kontrak-kontrak bernilai RM71.1 juta yang diperoleh Scomi sepanjang tempoh enam bulan itu daripada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).
Jumlah kontrak daripada syarikat minyak kebangsaan itu mewakili 10.5 peratus nilai keseluruhan kontrak Scomi dalam tempoh tersebut.
Kontrak Petronas
Menurut Shah, untuk setengah tahun 2006, nilai kontrak yang diperoleh syarikat itu daripada agensi kerajaan dan GLC (tidak termasuk Petronas) adalah antara RM5,250 dan RM685,000 setiap kontrak.
Antara kontrak yang diperolehnya ialah kerja-kerja membaik pulih gerabak untuk Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) dan membekalkan box van (kekotak angkutan sampah) untuk pihak berkuasa tempatan.
''Kami mempunyai senarai (kontrak yang diterima) dan sekiranya anda berminat anda boleh menyemaknya,'' katanya pada taklimat mengenai Pusat Penyelidikan dan Teknologi Global Scomi di sini hari ini.
Senarai tersebut merupakan sebahagian daripada laporan kegiatan Scomi yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hari Jumaat lalu.
Berdasarkan ringkasan laporan berkenaan yang diberikan kepada pemberita, pendapatan daripada operasi tempatan berkurangan daripada 93 peratus pada tahun 2003 kepada hanya 24 peratus separuh pertama tahun ini.
Pendapatan daripada Petronas dan agensi kerajaan lain pula merosot daripada 44 peratus pada tahun 2003 kepada 11 peratus tahun ini.
Menurut ringkasan itu, Scomi mengakui bahawa pendapatan itu menjadi penyumbang kepada perniagaan ketika ia memulakan operasi tetapi kumpulan itu telah berjaya berkembang pesat di pasaran antarabangsa.
Ia turut menyatakan bahawa Scomi tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada Petronas dan juga kontrak kerajaan sebagai penyumbang utama pendapatan.
Sumbangan operasi
Menurut Shah Hakim lagi, Scomi, seperti syarikat lain, tidak mendapat semua projek yang dibida daripada Petronas.
''Kami tidak mendapat semua projek Petronas yang kami bida. Kami tidak dapat kontrak Petronas di Pakistan, Vietnam, Mesir atau Myanmar,'' jelasnya.
Katanya, secara purata, Petronas menyumbang kira-kira 10 peratus kepada pendapatan kumpulan setiap tahun.
Beliau menambah, Scomi merancang mengurangkan sumbangan operasi dalam negara kepada perolehan kumpulan di bawah paras 10 peratus menjelang tahun 2009, berbanding 24 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Sementara itu, Shah Hakim menjelaskan, Scomi tiada sebarang kaitan dengan penahanan kakitangan pembuat peralatan ketepatan Mitutoyo Corp. yang didakwa mengeksport kelengkapan yang boleh digunakan untuk membuat senjata nuklear.
Beliau berkata, kumpulan itu telah pun melalui proses penyiasatan berhubung kes seumpama itu pada tahun 2004 dan ia didapati tidak melakukan sebarang kesalahan.
Tiada siasatan
''Sejak ia (kes) ditutup oleh pihak berkuasa Malaysia dan asing, kami tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak,'' jelasnya.
Pada 25 Ogos lalu, Presiden syarikat Mitutoyo Corp. telah ditahan berhubung dakwaan mengeksport peralatan yang boleh digunakan untuk membuat senjata nuklear ke Malaysia.
Polis Tokyo menahan Kazusaku Tezuka serta empat kakitangan syarikat itu kerana disyaki melanggar undang-undang pengawalan perdagangan asing Jepun.
Mitutoyo Corp. disyaki mengeksport secara haram ke Malaysia dua buah peralatan pengukur tiga dimensi pada bulan Oktober dan bulan November 2001.
Shah menegaskan, beliau tidak pernah disoal siasat dan apa yang berlaku sebelum ini ialah pihaknya membantu proses penyiasatan seperti menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan oleh pihak berkuasa.
Tambah beliau, siasatan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, malah di Eropah, penyiasatan berkaitan kes itu masih lagi dilakukan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.