Paling Popular
Terkini

Umno berkata, tidak ada mana-mana pihak yang wajar mengajar parti itu bagaimana mahu menyatukan ummah kerana langkah itu sudah mula dipeta sejak puluhan tahun lalu.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan isu perpaduan ummah kini menjadi begitu tular dan lumlah sejak kebelakangan ini dan diperkatakan semua orang seolah-olah ia begitu parah.

Pun begitu kata Mohamad dia mempunyai pandangan berbeza kerana ia tidaklah terlalu terlalu meruncing dan hanya ada sedikit 'kocakan' sesekali.

"Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan Umno kalau tuan-tuan sendiri berentap dengan mereka yang sebelum ini tuan-tuan peluk dan dakap mesra.

"Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan Umno kalau yang tuan-tuan tahu hanyalah memancing dan mengutip sesiapa sahaja yang pantas meninggalkan perjuangan bangsa, termasuklah mereka yang selama ini tidak berhenti-henti menghina dan merendah-rendahkan orang Melayu," katanya.

Bercakap demikian semasa memberikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Kuala Lumpur hari ini Mohamad berkata Umno berupaya menyatupadukan Malaysia dengan sokongan pelbagai parti komponen pada 1988 dan 1998.

Jangan dilupa, katanya, dalam segala perselisihan yang pernah wujud, Umno tetap menerima kembali Semangat 46 ke pangkuan perpaduan bangsa.

Hadir bersama perpaduan kaum

Apabila Umno gagal membentuk kerajaan tiga tahun lalu, katanya, Umno menghulur tangan perpaduan kepada PAS sehingga terbentuknya Muafakat Nasional.

"Jadi, kepada pemimpin serpihan parti Melayu yang baru setahun jagung usianya, usahlah tuan-tuan berbicara tentang perpaduan ummah dengan Umno apabila tuan-tuan sendiri tidak punya sebarang rekod menyatupadukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia," katanya.

Persidangan tahunan Umno kali ini berlangsung dalam suasana hubungan Umno dengan Bersatu terus menegang, bagai retak menanti belah.

Pada masa sama PAS - yang menjadi sekutu Umno dalam Muafakat Nasional dan menjadi komponen Perikatan Nasional bersama Bersatu - pula bertegas mahu menyatu dan memulihkan hubungan berkenaan.

"Maka dengarlah wahai seluruh perwakilan Umno dan bangsa Melayu. Saya tegaskan dengan setegas-tegasnya bahawa perpaduan bangsa Melayu adalah cita-cita besar yang Umno telah dan akan terus dukung dengan tegas dan setia.

"Ia tidak akan kami lacurkan dalam matlamat politik yang sempit. Ia tidak akan kami leburkan dalam perlumbaan kuasa yang tidak cerdik," katanya.

Pada masa sama kata Mohamad pada Umno perpaduan Melayu bukan sekadar mengukuhkan kedudukan bangsa Melayu tetapi juga perpaduan nasional.

"Umno dan BN akan memperjuangkan perpaduan Melayu dan perpaduan nasional tanpa terpisah-pisah. Ia bergerak seiring dan akan saling diperkuat.

"Alasannya mudah. Masa depan Malaysia tidak akan cerah dan mencukupi dengan jaminan perpaduan Melayu sahaja tetapi jaminan masa depan Malaysia yang baik, harus hadir bersama perpaduan semua kaum," katanya.

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan 

Lihat Komen
ADS