Analisis berkomputer yang dilakukan oleh jawatankuasa pilihanraya pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan telah mengesan maklumat yang tidak betul dalam senarai pemilih 2004.

Dalam laporannya mengenai pilihanraya di Malaysia, jawatankuasa tersebut mendakwa wujud dua pusat pengundian yang sama wujud kawasan Parlimen Gombak di Selangor.

Dua pusat pengundian di Kemensah (09/18/04) itu juga mencatatkan keputusan yang berbeza.

Menurut Timbalan Pengerusi jawatankuasa tersebut, Dr Mansor Othman, program komputer itu yang dikenali sebagai SISMEP12 (Sistem Menang Pilihanraya Ke-12), juga boleh mengesan pengundi tanpa pusat pengundian.

Di Selangor sahaja, katanya, jumlah mereka mencecah 223,950 orang pengundi.

Menurut laporan tersebut lagi, analisis berkomputer ke atas senarai nama pemilih di Selangor Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Kedah, turut mengesan pemilih yang sudah berusia 90 hingga 122 tahun.

Katanya, walaupun MyKad diperkenalkan lebih 15 tahun lalu, tetapi terdapat 57,068 pemilih yang tidak mempunyai nombor kad pengenalan baru itu.

Mengenai keadah yang digunakan dalam melakukan analisis tersebut, Dr Mansor berkata salinan nama pemilih yang diperolehi daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) disusun mengikut lokasi.

"Kemudiannya kami pergi mengesahkan alamat-alamat pada senarai nama pemilih tersebut," katanya ketika dihubungi.

Dr Mansor yang juga anggota Kepimpinan Tertinggi MPT) PKR yang mengetuai biro penyelidikan parti tersebut, berkata, analisis itu boleh membantu 'membersihkan' senarai nama pemilih daripada sebarang penipuan.

Laporan 30 muka

Sebagai contoh, kata Dr Mansor, terdapat satu alamat palsu di Kampung Kelang Gate di Hulu Kelang, Selangor, yang dikatakan menempatkan enam orang pengundi yang tinggal di pangsapuri.

"Tetapi apabila ke sana, kami mendapati kediaman tersebut berada di tengah-tengah kawasan setinggan dan tidak ada satupun bangunan tinggi di situ," tambahnya.

Laporan 30 halaman itu, yang menyentuh bentuk penyelewengan dalam proses pilihanraya dan demokrasi, turut membuat syor-syor ke arah mewujudkan pilihanraya yang bebas dan adil.

Ia termasuk syor diwujudkan sebuah suruhanjaya pilihanraya yang bebas daripada parti pemerintah, penyertaan pemerhati antarabangsa, dan menyediakan mekanisme bagi menjayakan proses demokrasi sebenar, seperti media yang bebas.

Ia juga mengesyorkan supaya diwujudkan perundangan khusus bagi proses pilihanraya itu sendiri, termasuk menangani kuasa perdana menteri untuk memutuskan bila Parlimen hendak dibubarkan.

Laporan itu juga mengesyorkan supaya diberi tempoh masa yang munasabah antara pembubaran Parlimen dan hari penamaan calon dan antara hari penamaan calon dengan hari pengundian.

Mengenai undi pos pula, laporan itu berkata, kaedahnya mesti telus ekoran kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi sekarang serta penggunaan dakwat yang tidak boleh dipadam diperkenal untuk mengelak perbuatan mengundi lebih dari sekali dan mengelak individu yang mencurigakan daripada mengundi. Berita asal