Mayat seorang wanita warga China ditemui mati dalam keadaan separuh bogel di dalam tandas di bilik sebuah hotel bajet di Brickfields pagi tadi.

Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di lantai tandas bilik itu dengan hanya memakai seluar dalam.

Timbalan Ketua Polis Brickfields Supt Arjunaidi Muhammad berkata mayat wanita itu, Hu Xin Yu, 27, dari Shanghai, China ditemui pekerja hotel tersebut pada kira-kira jam 9.30 pagi di bilik itu di tingkat dua, hotel tersebut.

Menurut laporan Bernama, punca kematian mangsa masih disiasat dan akan diketahui selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Kuala Lumpur, katanya.

Polis yang menjalankan siasatan turut menemui kondom yang sudah digunakan di tandas bilik itu manakala pasport dan telefon bimbit mangsa tidak ditemui di situ.

Arjunaidi berkata siasatan awal polis mendapati mangsa telah menyewa bilik hotel itu sejak 10 September lalu.

Rakaman CCTV

Katanya, pada jam 2 pagi tadi, mangsa didatangi seorang lelaki di biliknya dan tiga jam kemudian, lelaki berkenaan dilihat meninggalkan hotel itu dalam keadaan tergesa-gesa dengan menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna hijau.

Beliau berkata, gelagat lelaki berkenaan masuk dan meninggalkan hotel itu dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hotel tersebut.

Katanya, polis sedang memburu lelaki berkenaan yang berusia 27 tahun yang berasal dari Jalan Klang Lama bagi membantu siasatan kes itu.

Menurutnya, polis mengklafikasikan kes itu sebagai bunuh dan menyiasatnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.