Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin berkata, perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu telah memalukan orang Melayu kerana bersikap tidak menghargai dan menghormati pemimpin yang banyak berjasa kepada mereka dan negara.

"Saya sangat malu kepada bangsa asing bahawa orang orang Melayu langsung tidak menghormati dan memberi ruang kepada Tun untuk menjadi perwakilan."

"Beliau (Dr Mahathir) rela bertanding semata-mata ingin duduk bersama perwakilan lain pada Perhimpunan Agung Umno akan datang tetapi hasrat beliau itu tertutup (apabila kalah merebut satu kerusi sebagai perwakilan di Kubang Pasu)," kata bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir itu.

Abdul Aziz juga amat menyesali tindakan sebahagian perwakilan Umno bahagian berkenaan menolak Dr Mahathir sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno November depan sedangkan bekas Presiden Umno itu berbuat demikian untuk kebaikan dan bukannya untuk menghancurkan Umno.

Menurut laporan Bernama, Abdul Aziz, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kualiti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Dewan Balora, Bandar Durian Mas dekat Dungun, Terengganu hari ini.

Dr Mahathgir tewas dalam pemilihan Umno bahagian Kubang Pasu Sabtu lalu apabila hanya meraih 227 undi, menduduki tempat kesembilan daripada 15 calon yang bertanding.

Hanya tujuh calon yang mendapat undi tertinggi layak menjadi perwakilan G-7 ke perhimpunan agung parti itu. Bagaimanapun anak Dr Mahathir, Datuk Mukhriz terpilih sebagai perwakilan apabila berjaya menduduki tempat kelima dengan 298 undi.

Beliau yang juga ahli Parlimen Shah Alam turut mengingatkan pemimpin dan anggota Umno supaya berhenti menghina Dr Mahathir dengan pelbagai kenyataan yang boleh menyinggung perasaan bekas Perdana Menteri itu.

Abdul Aziz menambah, tindakan segelintir anggota parti itu menghina bekas Perdana Menteri itu akan hanya memburukkan keadaan sedangkan beliau banyak berjasa kepada Umno dan negara.

"Sejak akhir-akhir ini banyak orang memperkatakan keburukan Dr Mahathir tanpa menyedari terlalu banyak jasa yang telah beliau buat kepada Umno dan negara sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

"Saya pernah menjadi Setiausaha Politik kepada beliau dan setahu saya, Tun tidak pernah bermusuhan dengan Pak Lah (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan saya menyifatkan beberapa teguran yang dikeluarkan beliau bukan bertujuan memperkecilkan Umno dan negara," katanya.

Sementara itu ketika berucap merasmikan majlis itu, Abdul Aziz berkata pihaknya akan mengarahkan agensi-agensi kerajaan di bawah kementeriannya yang mentadbir wilayah-wilayah di kawasan luar bandar supaya memberi penekanan yang lebih kepada penduduk di kawasan berkenaan mengenai aspek pendidikan.

Ia bagi memastikan sekurang-kurangnya seorang daripada setiap keluarga akan menjadi golongan profesional serta mendapat pekerjaan yang baik, katanya.