Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PAS 'bermadah' ulas komentar setia kawan Umno

Selepas nama parti disentuh beberapa kali oleh pemimpin Umno yang sedang bersidang sekarang, pemimpin PAS hari ini memberikan reaksi tersirat namun tetap lembut.

Untuk menjawab apa yang dilontarkan itu, mereka membangkitkan persoalan setia kawan ketika Umno semakin menghampiri memuktamadkan keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, misalnya membuat hantaran ringkas dan bermadah mengenai prinsip setia kawan sejati.

"Setia kawan sejati bukan sampai tegah kawan berkawan (dengan orang lain), kawan adalah rezeki persahabatan yang datang.

"Aku mungkin hilang kau kawan yang tak menghargaiku, tapi kau hilang aku kawan yang betul-betul mempercayaimu. I may have lost someone who didn’t love me, but you lost someone who truly loved you," kata Takiyuddin dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Umum mengetahui hubungan PAS dengan Umno sedikit terusik apabila status parti itu yang menyertai Perikatan Nasional (PN) walaupun masih bersama dengan Muafakat Nasional (MN) dibangkitkan dalam perhimpunan kali ini.

Malah Pemuda PAS sendiri menzahirkan rasa marah mereka apabila isu berkenaan dikaitkan dengan peristiwa pertembungan kumpulan Khawarij dan Sayidina Ali Abi Talib.

Tak macam ucapan sebelum ini

Malah, beberapa pemimpin Umno secara terbuka mendesak supaya PAS menyatakan pendiriannya sama ada mahu kekal bersama Umno ataupun bersama Bersatu dalam PN.

Bagaimanapun pimpinan tertinggi Umno dan PAS menegaskan hubungan mereka masih utuh dan bersetuju untuk memperkasakan MN.

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari pula menyifatkan ucapan dasar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi hari ini "terang dan bersuluh".

Katanya, PAS pasti mendapat mesej apa yang diperkatakan presiden Umno itu.

"Ucapan presiden Umno lebih terang dan bersuluh, ia tidak menyindir dan membidas PAS atau menyalahkan pihak-pihak tertentu yang berselindung di sebalik slogan perpaduan ummah atau menyifatkan PAS sebagai senyap-senyap berbaik dengan Bersatu seperti ada ucapan sebelum ini," katanya.


Baca 'Usah biadab depan ayahanda kami'


Dia yang juga ahli parlimen Pasir Mas bagaimanapun tidak berterus terang mengenai penerimaan PAS.

"Saya sifatkan ia ucapan yang gentleman. PAS sudah mendapat mesej itu. Sama ada ia selari atau tidak dengan pendirian PAS, kita tentunya boleh membuat telahan.

"Sudah tentu tuan guru presiden dan timbalan yang turut hadir lebih jelas dengan mesej yang ingin disampaikan," katanya juga dalam hantaran di Facebooknya.

Ahmad Fadhli berkata sikap seterusnya akan ditentukan pimpinan tertinggi PAS.

"Dari sudut adat dan budaya terhadap tetamu, sebagai pemerhati, kelihatan PAS dihormati sebagai tetamu pagi ini di perasmian Perhimpunan Agung Umno.

"Terima kasih kawan-kawan kita di dalam Umno," katanya lagi yang mengakhiri hantaran tersebut dengan tanda pagar #PukulTetamu.

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan 

Lihat Komen
ADS