Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jika PN berpecah, PKR dan DAP yang untung - Wan Saiful
Diterbitkan:  Mar 28, 2021 7:31 PM
Dikemaskini: 11:32 AM

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN) hanya akan menguntungkan DAP dan PKR apabila undi Melayu berpecah.

Dia berkata demikian selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan bahawa BN akan bergerak secara sendirian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).

"Jika kita berpecah, yang akan menghidu peluang dan keuntungan ialah DAP dan PKR melalui PH. 

"Mereka memang mahu undi Melayu berpecah supaya DAP dan PKR dapat kembali membawa agenda mereka dalam kerajaan. 

"Bersatu sentiasa menyeru kepada penyatuan agar kestabilan negara dapat diwujudkan dan dikekalkan, dan agar struktur asas kuasa politik negara dapat dikekalkan.

"Tetapi jika perlu, seperti yang ditegaskan oleh Tan Sri Muhyiddin (Yassin), kita sesekali tak akan undur dari perjuangan ini dan kita akan pastikan agenda perjuangan tetap dijulang," katanya dalam kenyataan.

Kata Wan Saiful, Muhyiddin selaku presiden Bersatu dan Pengerusi PN telah menegaskan bahawa gabungan itu bersedia bertanding di semua kerusi sekiranya Umno berkeras tidak mahu berunding untuk mempertahankan kesatuan politik Melayu.

Tambahnya, pandangan itu juga diutarakan dalam Dialog Penerangan Bersatu peringkat negeri Selangor di sebuah hotel di Klang hari ini.

"Dalam konteks negeri Selangor, dan sempena Dialog Penerangan peringkat negeri Selangor sebentar tadi, saya nyatakan keyakinan saya bahawa PN boleh mengambil alih Selangor dan mempertahankan Putrajaya. 

"Dalam konteks nasional pula, sudah pasti kita perlu bersedia dan perlu berusaha memperkasa jentera parti untuk pertandingan berapa penjuru sekalipun," kata Wan Saiful yang tidak merujuk secara langsung kepada ucapan Zahid dalam Perhimpunan Agung Umno hari ini.

'Zahid bacul, gila kuasa'

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu (Armada), Ashraf Mustaqim Badrul Munir melabelkan Zahid sebagai 'bacul' apabila tidak mengakui rundingan dengan DAP dan PKR.

"Dalam pada Umno telah dibawa 'sikit-sikit' mula berkhalwat dan 'ringan-ringan' bersama DAP dan Anwar Ibrahim, tapi si presiden Umno yang punyai 87 kes rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa jelas bersifat bacul untuk mengakui pula hubungan haram beliau dengan Anwar Ibrahim.

"Dikatakannya "No DAP, no Anwar" dengan terpancar riak dalam keterpaksaan (jelas diperkatakan hanya kerana tuntutan akar umbi yang menolak)," katanya.

Ashraf juga mendakwa bahawa penolakan ke atas Bersatu yang dipelopori Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak adalah kerana Muhyiddin tidak mahu melayan permintaan untuk campur tangan dalam kes mahkamah membabitkan mereka.

"Umno di bawah Zahid Hamidi dan kluster mahkamah bukan lagi menunjukkan ciri sebuah parti yang membela bangsa, melainkan pemecah-belah bangsa dan gila kuasa.

"Sedang Bersatu yang menyahut secara bersama seruan pengukuhan destini orang Melayu atas nama Perpaduan Ummah, Umno kluster mahkamahlah yang menjadi tunjang pemberontakan atas kepentingan peribadi dan hanya beromongan kosong saban hari. 

"Saat tutur bicara dalam kalangan mereka yang melaungkan penyatuan Melayu dan destini bangsa ternyata hipokrasi semata.

"Keangkuhan yang dipelopori kluster mahkamah pasti akan membawa Umno kepada kehancuran," katanya dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS