Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Guruh sudah berdentum-dentam sejak lama di langit yang gelap. Gegarannya hampir sama saja kuatnya dengan gendang perang yang dipalu laskar penuh ilmu di dada.

Panji-panji diangkat tinggi. Senjata sudah di tangan. Serangan yang dirancang bukan main-main. Kemenangan yang dijanjikan sudah berada di depan sana - di kaki langit.

Bala tentera itu hanya perlu menunggu arahan untuk melangkah saja bagi menghunjam lembing, anak panah, pedang atau apa saja ke tengah medan perang.

Kata-kata semangat sudah diucap berkali-kali. Ia terapung-apung di udara dan bergema di mana-mana. Mantera perang sudah dibaca.

Dendam dan gelora yang bersarang di dada sudah menggelegak lama. Bara yang dipegang semakin memakan kulit dan daging. Sekali anak jantan menggenggam bara, ia mesti dipastikan sampai menjadi abu.

Saat yang dinantikan nampaknya hampir tiba dan semboyan akan ditiup pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya itulah yang disaksikan oleh orang ramai yang menanti penuh debar.

Tiba-tiba panglima berpaling menghadap bala tenteranya dan berkata: "Terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk menentukan bila kita akan berperang. Kita akan bincangkan baik-baik idea ini dan teliti bilakah detik untuk berperang itu."

Panglima itu kemudian tersenyum dan kembali ke khemahnya untuk untuk menunggu hidangan makan malam disiapkan.

Angin bertiup perlahan dan cengkerik berlagu syahdu. Masalah pun selesai untuk seketika.

Demikian lebih kurang apa yang berlaku pada akhir perhimpunan agung Umno yang melabuhkan tirainya petang tadi. Hampir tidak ada apa-apa yang baru berlaku. Semuanya hampir sama.

Bagai tulang tersangkut di tenggorok

Rasa tidak puas hati, geram, retorik dan keinginan demi keinginan yang tidak dapat dituntaskan masih sama. Kalau ada pun yang baru, ia cuma berkenaan mandat yang diberikan oleh ahli Umno kepada presiden dan majlis tertinggi (MT) untuk menentukan tarikh keluar dari kerajaan.

Ia bermula dari rasa tidak puas hati ahli akar umbi yang kemudian dijelmakan untuk menjadi usul. Lalu usul itu dibawa kepada majlis tertinggi. Usul diterima dan diserahkan kembali kepada ahli yang berhimpun. Dari situ ahli yang berhimpun menyerahkan kembali isu berkenaan kepada pertimbangan MT.

Semua orang sudah tahu Umno mahu meninggalkan PN. Yang ingin diketahui lanjut ialah: bila? Untuk menjawab persoalan itu pun Umno masih bersilat untuk menetapkan tarikhnya.

Ia kira-kira sama seperti tulang yang tersangkut di tenggorok. Ketika ada peluang untuk mengeluarkan seksaan itu, Umno enggan. Pedulilah apa juga alasan yang diberikan, orang ramai tetap melihat Umno sekadar acah-acah untuk menjadi si pemberani.

Lebih daripada itu orang melihat Umno menjadikan keberadaan ahli-ahli parlimen mereka sebagai bahan untuk terus menekan atau mengugut Bersatu supaya mengikut kehendak mereka.

Cagarannya ialah Putrajaya.

Dari sisi lain orang ramai akan melihat bahawa ahli parlimen Umno terlalu sayang untuk melepaskan jawatan yang disandang, sama ada dalam kabinet atau bilik-bilik besar dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Pada masa sama jika ada ruang untuk berunding, inilah masanya. Skrip yang sama jugalah yang diulang-ulang.

Untuk memberikan justifikasi atas apa yang berlaku, tidak ada masalah. Memang kerja orang politik ialah mencari apa saja hujah untuk memenangkan diri mereka sendiri.

Dari konteks itu, wajar juga Bersatu berasa cemuih melayan kerenah Umno. Dan mungkin juga Annuar Musa akan tersenyum lebar.

Asap akan tetap tinggal asap. Bara mungkin masih memerah. Pun begitu, hidupnya bara kerana ada bahan bakarnya. Lama-kelamaan ia akan habis menjadi abu juga.

Atau lebih malang, ada orang yang datang untuk mencurahkan air ke bara berkenaan. Apa yang tinggal ketika itu? Cuma asap dan arang.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS