Pope patut minta maaf - Abdullah
Pope Benedict XVI harus meminta maaf dan menarik balik kata-katanya baru-baru ini yang mengaitkan Islam dengan keganasan yang telah menyinggung perasaan umat Islam seluruh dunia, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pope Benedict XVI harus meminta maaf dan menarik balik kata-katanya baru-baru ini yang mengaitkan Islam dengan keganasan yang telah menyinggung perasaan umat Islam seluruh dunia, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Pope tidak harus mengambil ringan kemarahan yang dibangkitkan. Vatican kini harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara itu dan mengambil langkah perlu untuk memperbetulkan kesilapan itu," katanya.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang
membuat liputan Sidang Kemuncak ke-14 Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) di Havana semalam.
Abdullah yang juga pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang mempunyai 57 negara anggota berkata adalah dikesali bahawa kenyataan itu menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam dan pastinya akan menghalang pemupukan hubungan baik antara Islam dan Kristian.
"Adalah malang sekali bahawa tokoh terkemuka seperti Pope tidak menunjukkan kepimpinan dalam menggalakkan hubungan baik antara agama.
"Malah, kenyataannya boleh memberi kesan dalam menanam benih perbalahan dan tidak kondusif untuk dialog antara agama," kata Abdullah.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar meminta umat Islam supaya bersabar dan jangan dipengaruhi emosi.
Bagaimanapun, katanya, dunia Islam patut mengecam kenyataan tersebut supaya ianya berulang.
Katanya, kenyataan seumpama itu tidak baik untuk keselamatan dan kestabilan dunia di samping menjejaskan usaha untuk mengelak pertembungan budaya dan agama.
Menurut laporan AFP, kenyataan Benedict mengenai Islam dibuatnya dalam satu ucapan di Jerman yang mengisahkan perbualan antara Maharaja Kristian Empayar Byzantine, Manuel Paleologos II dengan seorang cendekiawan Paris mengenai kebenaran agama Islam dan Kristian.
Kenyataan kontroversi
Benedict dilaporkan memetik kata-kata maharaja Byzantine itu mengenai Nabi Muhammad, iaitu: "Saya memetik kata-katanya, "Tunjuk kepadaku apakah yang baru yang dibawa oleh Muhammad, dan ia hanyalah kejahatan dan ketidak perikemanusiaan, seperti perintahnya untuk mengembangkan (ajarannya) melalui pedang."
Jurucakap Pope kemudiannya berkata, Benedict menghormati Islam tetapi menolak keganasan yang dikaitkan dengan agama itu. Penjelasan itu, bagaimanapun gagal meredakan kemarahan umat Islam.
Parlimen Pakistan sebulat suara meluluskan resolusi menuntut Pope "menarik balik kenyataan itu demi menjaga keharmonian antara agama."
Di India, Pengerusi Suruhanjaya Negara bagi Kaum Minoriti, Hamid Ansari berkata: "Bahasa yang digunakan oleh Pope bunyi sama seperti rakan sejawatannya pada Abad ke-12 yang memerintah supaya dilancarkan Perang Salib".
Kumpulan Ikhwan al-Muslimin, yang merupakan pembangkang utama di Parlimen Mesir, menyifatkan ucapan Pope itu lebih serius daripada isu lukisan kartun gambar Nabi Muhammad yang telah mencetus kemarahan umat Islam di seluruh dunia awal tahun ini.
"Saya Pope itu akan berdepan dengan bantahan keras, kerana kenyataannya lebih memudaratkan berbanding dengan lukisan kartun tersebut, kerana ianya datang dari mulut seorang pemimpin yang mewakili berjuta-juta manusia," kata pegawai kanan kumpulan tersebut Abdel Moneim Abul Futuh.
Di Turki, pengerusi direktorat halehwal agama negara itu, Ali Bardakoglu pula menyifatkan kenyataan Pope itu "penuh rasa permusuhan dan kebencian" dan menegaskan Pope tersebut tidak harus dibenarkan ke Turki.
Reaksi yang sama tercetus di Iran di mana ulama haluan keras, Ahmad Khatami, berkata: " Adalah sesuatu yang amat malang apabila pemimpin masyarakat Kristian dunia tidak faham mengenai Islam dan bercakap dengan begitu biadap sekali".
Manakala golongan ulama Sunni di Iraq pula menggesa kerajaan menghalau wakil Vatican sebagai bantahan terhadap kenyataan Pope tersebut.
Dan Yayasan Ramadan di Britain membandingkan Pope Benedict XVI dengan Pope sebelum ini, John Paul II.
"Mendiang Pope John Paul II menghabis lebih 25 tahun untuk membina jambatan dan hubungan baik dengan masyarakat Islam. Dia telah memperlihatkan kepada dunia bahawa persepsi mereka terhadap Islam adalah salah dan kita adalah satu masyarakat yang cintakan keamanan," katanya.

