Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri: Rentas negeri masih dilarang
Diterbitkan:  Mar 30, 2021 8:44 PM
Dikemaskini: 12:44 PM

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Johor, Kelantan, Pulau Pinang, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur disambung dua minggu lagi, manakala rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengekalan status berkenaan di Sarawak bermula 30 Mac hingga 12 April manakala di lima negeri lagi bermula Khamis ini sehingga 14 April.

“Negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan (Wilayah Persekutuan) Labuan turut disambung berkuat kuasa tarikh yang sama.

Larangan rentas negeri masih lagi berkuat kuasa, hanya rentas daerah dibenarkan, kecuali di Sabah dan Sarawak yang masih tidak dibenarkan atas permintaan kerajaan negeri masing-masing,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat selepas sidang Khas Majlis Keselamatan Negara mendengar pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai situasi serta penilaian risiko bagi tempoh 14 hari pelaksanaan PKPB serta PKPP di negeri-negeri seluruh negara.

Mengulas mengenai operasi pasukan petugas pematuhan, Ismail Sabri berkata seramai 17 individu telah ditahan semalam atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan kesemua mereka telah dikompaun.

“Kesalahan tertinggi melibatkan aktiviti pusat hiburan membabitkan 14 kes manakala tidak memakai pelitup muka sebanyak tiga kes,” katanya.

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata seramai tiga orang pendatang tanpa izin telah diusir dan sebanyak 52 buah kapal dikesan di perairan negara semalam.

Mengenai saringan wajib pekerja asing, beliau berkata seramai 2,578 warga asing telah menjalani saringan Covid-19 semalam dan daripada jumlah itu, tiga orang didapati positif Covid-19.

“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 662,335 pekerja warga asing telah menjalani saringan Covid-19, daripada jumlah itu, seramai 10,067 orang telah disahkan positif manakala 652,268 lagi adalah negatif,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS