Kegagalan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) memenuhi permintaan sektor pelancongan negara terutamanya untuk pasaran antarabangsa, menjadi isu utama yang dibangkitkan beberapa syarikat penerbangan asing dalam pertemuan mereka dengan Kementerian Pelancongan.

Mereka mempersoalkan mengapa kementerian itu perlu meminta kerjasama penerbangan asing untuk menampung keperluan antarabangsanya yang semakin meningkat sedangkan Malaysia mempunyai syarikat penerbangan sendiri.

"Mereka tanya kenapa? Kamu (Malaysia) cakap banyak permintaan sekarang ini, kenapa kamu tak minta syarikat penerbangan kamu sendiri untuk terbang ke sini?" kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada media Malaysia, selepas melancarkan promosi Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM'07) bagi peringkat bandar raya St. Petersburg di Rusia semalam.

Menurut Bernama, beliau berkata, mereka menyuarakan perkara tersebut dalam beberapa pertemuan berasingan dengan beliau sebelum ini bagi membincangkan hasrat Malaysia yang mahu syarikat-syarikat berkenaan mengadakan semula penerbangan dari negara mereka ke Kuala Lumpur, ataupun menambah jumlah penerbangan sedia ada.

Beliau diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan wakil syarikat penerbangan Rusia Aeroflot sebelum itu bagi meminta meminta syarikat berkenaan mengadakan semula penerbangan secara terus dari Moscow ke Kuala Lumpur bagi memenuhi permintaan pelancong Rusia yang ingin melawat Malaysia.

Tengku Adnan berkata, perkara serupa turut dibangkitkan semasa pertemuan beliau dengan syarikat penerbangan Iran sebelum ini dalam usaha meminta mereka menambah penerbangan sedia ada dari negara itu ke Kuala Lumpur.

Beri penjelasan

Bagaimanapun, ketika menjawab pertanyaan wartawan, Tengku Adnan berkata imej MAS tidak akan terjejas sekalipun keupayaan syarikat penerbangan itu dipertikai syarikat penerbangan asing.

Kata, beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa MAS sedang menyusun dan melaksana strategi baru bagi meningkatkan semula operasinya yang terjejas akibat beberapa masalah dalaman sebelum ini.

"Kita juga memberitahu mereka walaupun MAS sudah diswastakan, kerajaan Malaysia tetap akan memberi fokus kepada MAS kerana kerajaan kita mempunyai 'golden share' di dalam syarikat penerbangan itu," katanya.

Tengku Adnan berkata walaupun syarikat penerbangan terbabit bersetuju bekerjasama dengan Malaysia mereka berharap agar MAS juga mengambil tindakan serupa untuk negara mereka.

"Apabila pulang nanti saya akan memaklumkan cadangan mereka itu kepada MAS," katanya.

Tengku Adnan kini dalam rangka promosi TMM '07 di Rusia, meliputi bandar raya Moscow dan St. Petersburg.