Tindakan Perbendaharaan Malaysia meluluskan penggunaan dana khas bagi pengubahsuaian rumah tetamu serta pembelian perabot bagi pejabat daerah Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan adalah tidak teratur, kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

"Ini bertentangan dengan objektif pewujudan dana khas tersebut iaitu untuk membiayai projek dan aktiviti bagi manfaat rakyat khususnya petani, usahawan kecil, nelayan, pelajar dan penduduk kampung yang miskin," tambahnya.

Ambrin menegaskan demikian dalam sepucuk surat kepada Bernama semalam bagi membetulkan laporan berita Utusan Malaysia (Rabu dan Khamis) dan New Straits Times (Khamis) mengenai perkara tersebut, yang tidak tepat.

"Laporan saya tidak mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri Sembilan yang telah membelanjakan peruntukan yang diterimanya kerana ia telah dibuat mengikut tujuan yang diluluskan oleh Perbendaharaan Malaysia," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, laporan jabatan itu turut menyentuh mengenai penggunaan dana khas Kerajaan Persekutuan bagi tempoh setahun bermula Disember 2004 oleh Kerajaan Negeri Sembilan adalah kerana ia tidak teratur.

Menurut beliau lagi, pihaknya telahpun menjelaskan perkara tersebut kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan melalui sepucuk surat bertarikh 14 September.

Laporan BPR

Selasa lalu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan dari DAP, Loke Siew Fook telah membuat laporan lisan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri Sembilan berhubung kos pengubahsuaian rumah rasmi Menteri Besar yang bernilai RM4.5 juta.

Loke dipetik sebagai berkata laporan itu dibuat berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2005 yang menyatakan wang dana khas yang diperuntukkan sebanyak RM41.4 juta pada 2004 dan 2005 kepada Negeri Sembilan untuk tujuan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan telah digunakan untuk membiayai kos pengubahsuaian itu.

Rabu lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan mempersoalkan laporan audit itu mengenai perbelanjaan RM4.5 juta bagi menaik taraf rumah tetamu sebagai kediaman Menteri Besar dengan menggunakan dana khas, yang diperkatakan oleh laporan itu dana yang bertujuan membantu mereka yang memerlukan.

Mohamad berkata kenyataan itu tidak tepat dan mengelirukan kerana ia boleh menyentuh kewibawaannya selaku ketua negeri.

Beliau telah memaklumkannya kepada Pengarah Audit negeri itu untuk memaklumkan kepada Ketua Audit Negara untuk membetulkan kenyataan itu.

Sementara itu, Pegawai Kewangan Negeri Sembilan Datuk Norzam Mohd Nor berkata dana khas sebanyak RM41.40 juta itu turut termasuk peruntukan mengubahsuai rumah tetamu sebagai kediaman Menteri Besar.

Sebanyak RM4.5 juta lagi adalah untuk kompleks pentadbiran daerah Port Dickson dan RM2.4 juta untuk kompleks pentadbiran daerah Seremban, katanya dalam sidang akhbar di Seremban semalam.

Objektif dana khas

Sebanyak RM30 juta, jelas Norzam, dibelanjakan untuk tujuh tujuan seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan iaitu bantuan untuk pelajar cemerlang, bantuan kepada ibu tunggal, warga emas dan kurang upaya, bantuan persediaan pelajar memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau sukan, program pembiayaan perniagaan, program kesejahteraan rakyat dan program membaiki rumah orang miskin di kampung, katanya.

"Objektif penubuhan dana khas itu memang untuk ketujuh-tujuh perkara tadi. Bagaimanapun, dari semasa ke semasa ada perubahan diberi pada dana khas bagi kumpulan lain berdasarkan surat daripada Kementerian Kewangan," katanya.

"Semua dana khas ini telah dibelanjakan mengikut surat kelulusan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. Jadi, keempat-empat dana ini ada surat-surat kelulusan khas dan spesifik.

"Maka tidak timbul soal kita membelanjakan dana itu tanpa mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata Ketua Audit Negara juga malah telah mengeluarkan Sijil Ketua Audit Negara iaitu Sijil Audit Bersih yang bermakna tidak ada sebarang pelanggaran mengenai peraturan-peraturan tersebut.

Oleh itu, beliau berharap kekeliruan mengenai perkara ini tidak timbul lagi dan orang ramai dapat memahami kedudukan sebenar, dan ia tidak lagi menjadi isu.