KPN: Beritahu ketua jabatan jika ke luar negara
Kakitangan kerajaan yang ingin pergi ke luar negara sepatutnya memaklumkan kepada ketua jabatan masing-masing kerana dibimbangi berlaku perkara tidak diingini seperti yang menimpa seorang rakyat Malaysia yang ditembak mati di selatan Thai semalam.
Kakitangan kerajaan yang ingin pergi ke luar negara sepatutnya memaklumkan kepada ketua jabatan masing-masing kerana dibimbangi berlaku perkara tidak diingini seperti yang menimpa seorang rakyat Malaysia yang ditembak mati di selatan Thai semalam.
Ketika menasihatkan demikian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata walaupun tiada larangan bagi rakyat Malaysia ke Thailand terutama di kawasan yang sering bergolak di selatan Thailand, namun mereka perlu lebih berhati-hati.
Semalam, seorang pembantu perikanan di Jabatan Perikanan Terengganu, Che Ayub Yaakub, 54, dan rakannya seorang penghulu rakyat Thai yang dikenali sebagai Yusuf, mati ditembak penyerang yang tidak dikenali.
Menurut Bernama, kejadian itu berlaku jam 2 petang waktu Malaysia di Kampung Kokje, Tak Bai di Narathiwat, Selatan Thailand.
Bagaimanapun, Musa berkata, Che Ayub ke sana bukan atas urusan rasmi.
Mengenai kejadian tersebut, Musa bagaimanapun, menyifatkannya sebagai kes terpencil.
"Itu adalah kes terpencil, sesiapa yang ingin pergi ke sana (selatan Thailand) perlu menjaga diri masing-masing," katanya.
Katanya beliau sudah mengarahkan pegawainya untuk menyiasat kejadian itu dan sedang menunggu laporan penuh kejadian tersebut daripada polis Thailand.
Sebelum itu beliau menghadiri majlis penyampaian sumbangan RM120,000 daripada Syarikat DCHL kepada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bagi membantu program pencegahan jenayah di Kuala Lumpur hari ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.